Angka kematian taufan di Jepun meningkat

Angka kematian taufan di Jepun meningkat

TOKYO, 2 Sept – Angka kematian akibat taufan di utara Jepun meningkat kepada 14 orang, menurut para pegawai hari ini, ketika satu lagi ribut kuat menghampiri selatan negara itu.

Dua mayat ditemui secara berasingan berhampiran sungai-sungai di pulau Hokkaido, seorang jurucakap polis memberitahu AFP.

Petang semalam, pihak polis juga menemui satu mayat berhampiran sungai yang banjir di bandar Iwaizumi yang teruk terjejas di bahagian utara pulau Honshu, menurut penyiar awam NHK.

Taufan Lionrock, yang membawa angin bertiup lebih 160 kilometer sejam mendarat di pantai timur Pasifik, Jepun petang Selasa lalu dengan turunan hujan lebat di kawasan luas.

Air sungai yang melimpah dari tebingnya menimbulkan keadaan kelam kabut, mengakibatkan ramai masyarakat terkandas di utara negara itu yang sebahagian besarnya kawasan pertanian.

Keadaan sebuah rumah yang hanyut ke sungai di bandar Shimizu di Hokkaido selepas Taufan Lionrock melanda kawasan tersebut dalam sekelip mata. – AFP
Keadaan sebuah rumah yang hanyut ke sungai di bandar Shimizu di Hokkaido selepas Taufan Lionrock melanda kawasan tersebut dalam sekelip mata. – AFP

Iwaizumi adalah yang paling terjejas, dengan 12 orang meninggal dunia di bandar itu, termasuklah sembilan orang yang tertimbus di dalam sebuah bangunan pusat penjagaan orang tua.

Sehingga pagi ini, lebih 1,000 orang masih terkandas di kawasan terpencil di wilayah Iwate, yang termasuklah Iwaizumi, menurut kerajaan wilayah itu itu.

Lionrock adalah taufan ketiga melanda timur laut Jepun dalam tempoh kira-kira 10 hari, dua taufan sebelumnya mengakibatkan kira-kira dua kematian.

Jepun berdepan satu lagi taufan kuat, Namtheun, yang bergerak menuju utara ke arah pulau utama selatan, Kyushu dengan angin bertiup sehingga 180 kilometer sejam, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Namtheun bakal melintas berhampiran pulau kecil subtropika, Amami, yang terletak antara Okiniawa dan Kyushu, pada hari Sabtu, menurut agensi itu.

Pada tahun 2013, taufan kuat telah mengakibatkan kejadian besar tanah runtuh di pulau Oshima, 120 kilometer selatan Tokyo, membunuh 40 orang, manakala 82 orang terkorban selepas taufan melanda Jepun pada tahun 2011. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA