Angka maut gempa PNG meningkat

SYDNEY, 9 Mac – Angka kematian dari kejadian gempa bumi yang melanda Papua New Guinea (PNG) bulan lalu telah melebihi 100 orang dengan beribu-ribu mangsa yang lain cedera, Perdana Menteri Peter O’Neil berkata hari ini, dengan amaran bahawa ia akan mengambil tempoh bertahun-tahun untuk rantau itu pulih.

Kawasan pedalaman pergunungan negara Pasifik itu dilanda gempa bumi 7.5 magnitud pada 26 Februari yang mengakibatkan tanah runtuh yang menyekat jalan raya, mengakibatkan terputusnya bekalan elektrik dan beberapa buah kampung terputus hubungan.

Masyarakat juga dilanda gegaran susulan yang kuat, yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang merasa sangsi dan kecewa bahawa gegaran adalah disebabkan operasi minyak dan gas di kawasan itu.

“Gempa bumi tanah tinggi telah pun meragut kira-kira lebih 100 penduduk PNG dengan ramai lagi masih hilang dan beribu-ribu orang cedera,” menurut O’Neill.

Gambar fail pada 27 Februari 2018 menunjukkan sebuah rumah telah roboh akibat gempa bumi yang kuat di Halagoli, Wilayah Hela, PNG. Menurut Perdana Menteri Peter O’Neil angka kematian dari kejadian gempa bumi itu kini melebihi 100 orang. – AP

Perdana Menteri telah melawat kawasan yang musnah dan berkata kerajaannya dan agensi-agensi bantuan menumpu pada pembekalan air bersih, makanan dan perlindungan kepada para mangsa dan mengembalikan bekalan elektrik dan perhubungan.

“Pemulihan tidak cepat, kerosakan dari bencana akan mengambil masa berbulan-bulan dan tahun untuk dibaiki,” ujarnya lagi.

“Kerosakan sosial kepada masyarakat kita adalah besar dan gempa bumi ini akan menjadi sumber kesedihan dan kedukaan selama beberapa generasi akan datang,” tambah perdana menteri lagi, membayangkan tentang penderitaan seorang wanita yang telah kehilangan enam anggota keluarga termasuklah anak-anaknya. – AFP