Angka pencari kerja pada November meningkat

Angka pencari kerja pada November meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Bilangan rakyat dan penduduk tetap berumur 18 hingga 59 tahun, yang menganggur bagi bulan November 2015 telah meningkat daripada 10,313 orang pada bulan Oktober kepada 10,385 orang pada bulan November 2015.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di sini, daripada jumlah tersebut seramai 6,789 orang (65 peratus) tinggal di Daerah Brunei dan Muara; 5,751 orang (55 peratus) terdiri daripada perempuan; 6,006 orang (58 peratus) berumur antara 20 hingga 29 tahun; dan 6,563 orang (63 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh tambahan seramai 487 orang yang baru mendaftar sebagai pencari kerja dan pengurangan seramai 485 orang yang terdiri daripada 96 orang yang sudah mendapat pekerjaan dan 319 orang atas sebab-sebab lain seperti tidak membaharui pendaftaran sebagai pencari kerja di APTK.

Menurut JPKE, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu pengangguran di negara ini melalui dua pendekatan iaitu meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Khas, Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV); Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Dalam Negeri (BPTV) – Energy Industry Competency Framework (EICF), Skim Internship Student Programme for ICT Related Education (InSPIRE) dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP).

Satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah memberikan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja-pekerja asing yang berkemahiran rendah.

Mengikut hasil Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2014, daripada jumlah penduduk yang bekerja, kira-kira 27.5 peratus adalah merupakan pekerja asing.

Penunjuk pasaran tenaga kerja menunjukkan bilangan pencarum yang baru berdaftar di Tabung Amanah Pekerja (TAP) pada bulan November 2015 ialah seramai 567 orang, terdiri dari 47 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 520 orang di sektor swasta.

Secara keseluruhan, jumlah pencarum yang baru berdaftar di TAP dari bulan Januari hingga November 2015 ialah seramai 6,249 orang.

Perangkaan pencari kerja tempatan itu disediakan secara bulanan oleh JPKE, bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai rakyat Brunei dan penduduk tetap yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan dan sedang aktif mencari pekerjaan, atau diistilahkan sebagai penganggur.

Pencari kerja yang sedang bekerja tetapi aktif mencari pekerjaan lain tidak diistilahkan sebagai menganggur. Begitu juga dengan pencari kerja yang masih menuntut, juga tidak dikira sebagai menganggur.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan ini bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 atau melayari laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA