Angka pencari kerja pada Oktober terus menurun

Angka pencari kerja pada Oktober terus menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Bilangan rakyat dan penduduk tetap berumur 18 hingga 59 tahun, yang menganggur bagi bulan Oktober 2015 terus menurun daripada 11,093 orang pada September 2015 kepada 10,313 orang pada bulan Oktober 2015.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di sini, daripada jumlah tersebut seramai 6,701 orang (65 peratus) tinggal di Daerah Brunei dan Muara; 5,719 orang (56 peratus) terdiri daripada perempuan; 6,010 orang (58 peratus) berumur antara 20 hingga 29 tahun; dan 6,467 orang (63 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh tambahan seramai 462 orang yang baru mendaftar sebagai pencari kerja dan pengurangan seramai 1,242 orang yang terdiri daripada 187 orang yang sudah mendapat pekerjaan; 62 orang yang melanjutkan pengajian; 993 orang atas sebab-sebab lain seperti tidak membaharui pendaftaran sebagai pencari kerja di Agensi Pekerja Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK).

Menurut JPKE, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu pengangguran di negara ini melalui dua pendekatan iaitu meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Khas, Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV); Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional Di Institusi Pengajian Dalam Negeri (BPTV) – Energy Industry Competency Framework (EICF), Skim Internship Student Programme for ICT Related Education (InSPIRE) dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP).

Strategi lain ialah memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja-pekerja asing yang berkemahiran rendah.

Mengikut hasil Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2014, daripada jumlah penduduk yang bekerja, kira-kira 27.5 peratus merupakan pekerja asing.

JPKE berkata, penunjuk-penunjuk pasaran tenaga kerja mendapati bilangan pencarum yang baru berdaftar di Tabung Amanah Pekerja (TAP) pada bulan Oktober 2015 ialah seramai 618 orang, terdiri daripada 72 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 546 orang di sektor swasta.

Pada tahun 2011, jumlah penduduk yang bekerja ialah seramai 183,715 orang, dengan kira-kira 36.8 peratus terdiri daripada pekerja asing.

Antara jenis pekerjaan yang banyak diisikan oleh pekerja-pekerja asing ialah pekerjaan asas; perkhidmatan dan jualan; dan pekerja kemahiran dan pertukangan.

Pada tahun 2014, bilangan jawatan kosong yang diiklankan di sektor swasta ialah sebanyak 2,127 kekosongan berbanding 1,036 pada tahun 2013. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 366 jawatan telah pun diisikan pada tahun 2014, berbanding 160 jawatan pada tahun 2013.

Perangkaan pencari kerja tempatan itu disediakan secara bulanan oleh JPKE, bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai rakyat Brunei dan penduduk tetap yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan dan sedang aktif mencari pekerjaan, atau diistilahkan sebagai penganggur.

Pencari kerja yang sedang bekerja tetapi aktif mencari pekerjaan lain tidak diistilahkan sebagai menganggur. Begitu juga dengan pencari kerja yang masih menuntut, juga tidak dikira sebagai menganggur.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan ini bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 atau melayari laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA