Angka pencari kerja pada Sept. menurun

Angka pencari kerja pada Sept. menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Bilangan rakyat dan penduduk tetap berumur 18 hingga 59 tahun, yang menganggur bagi bulan September 2015 telah menurun daripada 12,524 orang pada bulan Ogos 2015 kepada 11,093 orang pada September 2015.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di sini, daripada jumlah tersebut seramai 7,174 orang (65 peratus) tinggal di Daerah Brunei Muara; 6,146 orang (55 peratus) terdiri daripada perempuan; 6,181 orang (56 peratus) berumur antara 20 hingga 29 tahun; dan 7,006 orang (63 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh tambahan seramai 170 orang yang baru mendaftar sebagai pencari kerja dan pengurangan seramai 1,601 orang yang terdiri daripada 398 orang yang sudah mendapat pekerjaan; 12 orang yang melanjutkan pengajian; 69 orang yang mengikuti Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP); dan 1,122 orang atas sebab-sebab lain seperti tidak membaharui pendaftaran sebagai pencari kerja di APTK.

Perangkaan pencari kerja tempatan itu disediakan secara bulanan oleh JPKE, bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai rakyat Brunei dan penduduk tetap yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan dan sedang aktif mencari pekerjaan, atau diistilahkan sebagai penganggur.

Pencari kerja yang sedang bekerja tetapi aktif mencari pekerjaan lain tidak diistilahkan sebagai menganggur.

Begitu juga dengan pencari kerja yang masih menuntut, juga tidak dikira sebagai menganggur.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan ini bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 atau melayari laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA