ANGKASA kaji wujudkan Akta Pencemaran Cahaya

ANGKASA kaji wujudkan Akta Pencemaran Cahaya

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) sedang mengkaji untuk mewujudkan Akta Pencemaran Cahaya bagi mengawal pencemaran cahaya di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Dr Noordin Ahmad.

Beliau berkata ANGKASA ketika ini sedang menyediakan garis panduan berhubung perkara itu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab mengawal selia limpahan cahaya akibat daripada pembangunan bandar.

“Kita memang memerlukan akta ini dan pada masa ini, ANGKASA sedang bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana lampu daripada bangunan dan lampu jalan sekarang ini di bawah seliaan mereka.

“Kami juga sedang memberi kesedaran kepada pihak berkenaan mengenai pencemaran cahaya yang berpunca daripada cahaya lampu bangunan dan juga lampu jalan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri tayangan perdana filem “To Space and Back” dan sambutan Earth Hour di Planetarium Negara di sini, hari ini.

Menara Berkembar Petronas turut memadamkan lampu tanda sokongan Kempen Earth Hour yang disambut di seluruh dunia ketika tinjauan di perkarangan Kampung Baru semalam. Beberapa buah bangunan sekitar ibu kota turut memadamkan lampu selama satu jam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam bagi mengurangkan kepanasan global.
Menara Berkembar Petronas turut memadamkan lampu tanda sokongan Kempen Earth Hour yang disambut di seluruh dunia ketika tinjauan di perkarangan Kampung Baru semalam. Beberapa buah bangunan sekitar ibu kota turut memadamkan lampu selama satu jam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam bagi mengurangkan kepanasan global.

Menurut Noordin pencemaran cahaya di negara ini baru memasuki tahap serius dan jika tidak ditangani ia bakal menjejaskan bidang astronomi negara.

“Kerja pencerapan di balai cerap di Planetarium Negara kini turut terjejas ekoran pencemaran cahaya yang melampau di bandar raya Kuala Lumpur.

“Di Planetarium Negara, kesannya ketara terutama kepada ahli astronomi yang melibatkan balai cerap kami di sini tidak boleh berfungsi sepenuhnya menyebabkan kami terpaksa membina satu balai cerap di Pulau Langkawi pada 2006 untuk mengatasi masalah pencemaran cahaya,” katanya.

Beliau berkata balai cerap yang dikenali sebagai Observatori Negara Langkawi (ONL) juga bakal terjejas jika tiada kawalan dari segi perwujudan akta, ordinan atau garis panduan.

ARTIKEL YANG SAMA