Angkat martabat budaya Melayu

Angkat martabat budaya Melayu

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Adat dan budaya Melayu Nusantara merupakan lambang dan identiti yang mencerminkan ketinggian pola pemikiran dan tamadun bangsa Melayu dalam mengharungi dan menghadapi cabaran dunia globalisasi.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah kemudian menekankan melalui teknologi infokomunikasi (ICT) dan kuasa ekonomi baru iaitu industri kreatif, generasi muda boleh meletakkan dan mengangkat martabat adat dan budaya Melayu sebagai landasan yang mampu membangun tamadun Nusantara yang terhormat, berintegriti dan berdaya saing.

Ini kerana, jelas Yang Berhormat Pehin, adat dan budaya Melayu terkenal dengan kias yang berlapis dan adab serta santun yang halus yang bersendikan adat yang diwarisi sejak turun temurun dan berpegang kepada Syariat Islam yang menyinarkan suatu estetika kehidupan yang tinggi dan sempurna.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini semasa menyampaikan sekapur sirih di Majlis Silaturahmi dan Persembahan Kebudayaan daripada Kabupatin Landak dan Sintang yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bengkurong, malam ini.

“Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam adalah satu-satunya Kesultanan Melayu yang masih berdiri utuh sebagai sebuah negara. Ini adalah berkat kepimpinan sultan-sultan Brunei yang secara berterusan menyandarkan Falsafah Melayu Islam Beraja sebagai entiti pencetus dan penentu gerak kehidupan dalam segenap lapangan kehidupan berbangsa dan bernegara hingga ke hari ini,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan isteri semasa hadir di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan isteri semasa hadir di majlis itu.

Majlis Silaturahmi dan Persembahan Kebudayaan anjuran Forum Silaturahim Keraton Senusantara (FSKN) Brunei Chapter ini merupakan acara untuk menyambut rombongan dari Kalimantan Barat ke Brunei Darussalam di samping menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-70 tahun.

Majlis persembahan kebudayaan dan forum ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan persahabatan di antara masyarakat Negara Brunei Darussalam dengan saudara-saudara serumpun di Kalimantan Barat di Kepulauan Borneo.

Hubungan dan interaksi yang diadakan juga menyumbang kepada pewujudan Komuniti ASEAN 2015 dalam memperteguh persefahaman, kerjasama dan perpaduan di kalangan masyarakat dan rakyat ASEAN yang dapat membawa kemanfaatan pertumbuhan sosial, ekonomi dan budaya serantau.

Majlis berkenaan turut mendengarkan ucapan alu-aluan Ketua Forum Silaturahmi Keraton Nusantara, Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar dan disusuli dengan ucapan sambutan daripada wakil rombongan, Bupati Kabupatin Landak Dr. Drs. Andrianus Asia Sidot, M.Si dan ucapan sambutan Raja Landak Dr. Drs. H. Gusti Suryansyah, M. Si.

Di samping itu juga, majlis diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan tarian dari Landak dan Brunei Darussalam, demo perkahwinan adat Brunei Lama diiringi dengan irama umpong dan syair.

Turut hadir di majlis itu ialah duta-duta ke Negara Brunei Darussalam dan warga Indonesia dari kawasan Kampung Bengkurong serta jemputan-jemputan khas.

ARTIKEL YANG SAMA