Anisah sasar Sukan SEA 2017

Anisah sasar Sukan SEA 2017

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Kejayaan Dayang Anisah Najihah binti Abdullah meraih emas untuk Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 menjadi catatan sejarah gemilang Brunei Darussalam yang sebelum ini belum pernah memenangi pingat emas ASG sejak sukan itu diperkenalkan kali pertama pada 2009.

Dayang Anisah ketika sempat ditemu bual Media Permata kini menetapkan sasaran untuk layak menjadi atlet Brunei Darussalam dalam Temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2017 nanti dan menghadiahkan sebarang pingat terutama kilauan emas buat negara tercinta.

Apa yang menjadikan anak muda berusia 18 tahun ini lebih menyerlah adalah keupayaannya untuk membahagikan masanya di antara pelajaran dan sukan memandangkan dia pada tahun ini baru saja selesai menduduki peperiksaan awam yang besar iaitu Peperiksaan ‘A’ Level.

Menurut pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, yang turut memenangi pingat gangsa dalam Seni Bela Diri Regu Perempuan bersama Dayang Qistina Athirah binti Zainal dan Dayang Nurhamizah binti Hamid itu, latihan persiapan menghadapi ASG7 telah bermula sejak Julai 2015 tetapi beliau memang sudah giat berlatih sejak Mei 2015 di bawah Akademi Sukan.

Dayang Anisah menyatakan rasa terkejutnya berjaya memenangi pingat emas kerana dia sendiri belum pernah merasa kalungan pingat emas di lehernya sebelum ini dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa mahupun serantau, lebih-lebih lagi pesilat Indonesia merupakan peserta pilihan juara dalam Kategori Seni Bela Diri.

Dayang Anisah ketika dikalungkan pingat emas Pencak Silat Seni Bela Diri Tunggal Perempuan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Dayang Anisah ketika dikalungkan pingat emas Pencak Silat Seni Bela Diri Tunggal Perempuan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

pg24_151127_LOGO ASG7

Enam pesilat negara yang meraih pingat dalam Seni Bela Diri bersama jurulatih mereka termasuk Awang Hassan (berdiri kanan).
Enam pesilat negara yang meraih pingat dalam Seni Bela Diri bersama jurulatih mereka termasuk Awang Hassan (berdiri kanan).

Ternyata Dayang Anisah jauh lebih hebat berbanding para pesaingnya yang lain jika dilihat kepada markah yang diperolehnya iaitu 463 mata. Pesilat Indonesia, Dwi Jayanti yang memenangi perak mengumpul 456 mata iaitu tujuh mata di belakangnya manakala pesilat Malaysia, Nur Fatihah binti Zainuddin mencatat 451 mata iaitu dua belas mata di belakangnya.

Dayang Anisah mengongsikan bahawa pencapaian terbaiknya di peringkat antarabangsa atau serantau hanyalah perak dalam Sukan BIMP-EAGA 2012 di Filipina dan sekali lagi perak dalam Sukan BIMP-EAGA 2014 di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau menceritakan mula berkecimpung dalam pencak silat ketika berusia 11 tahun pada 2008 dan hanya mula ikut bertanding dalam Kategori Seni Bela Diri pada 2011 iaitu dalam Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) atau Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) 2011 tetapi tidak berjaya meraih sebarang pingat. Dayang Anisah mengongsikan pingat pertama yang dimenanginya adalah perak dalam Pesta Sukan Remaja 2011 dan sejak dari itu dia sering memenangi pingat tetapi tidak pernah emas sehinggalah pada Pesta Sukan Remaja 2013, ketika dia buat pertama kalinya meraih emas.

Ketua Jurulatih Seni Bela Diri Brunei Darussalam, Awang Hassan bin Haji Tuah menyatakan rasa syukurnya atas kejayaan Skuad Seni Bela Diri Brunei Darussalam memenangi satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam ASG7 ini, masing-masing menerusi Tunggal Perempuan, Regu Lelaki dan Regu Perempuan.

Beliau berasa kagum dan terharu sekali gus mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas pengorbanan masa yang diberikan oleh para pesilat muda tanah air untuk datang berlatih sedangkan mereka pada masa yang sama perlu belajar dan menduduki peperiksaan masing-masing.Dengan kesungguhan dan disiplin yang telah para pesilat negara tunjukkan dalam ASG7 ini, Awang Hassan penuh percaya mereka akan mampu menggarap lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama negara di masa akan datang dalam kejohanan serantau dan antarabangsa yang berprestij.