Anjak pembelajaran kepada rangsangan akal

Anjak pembelajaran kepada rangsangan akal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Pemimpin dan guru-guru sekolah diseru untuk melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman pemikiran murid.”

Oleh itu orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal, tekan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan/Ketua Bahagian Pendidikan Swasta, Pengiran Ayup bin Pengiran Haji Othman dalam kata alu-aluannya di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Bagi Tahun 2014 Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Swasta Senegara Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Dato Seri Setia Haji Yusoff menyampaikan anugerah kepada Dayang Rachel Pang Yin May.
Dato Seri Setia Haji Yusoff menyampaikan anugerah kepada Dayang Rachel Pang Yin May.
Dato Seri Setia Haji Yusoff menyampaikan anugerah pelajar cemerlang kepada Dayang Andrea Tiong Jia Yin.
Dato Seri Setia Haji Yusoff menyampaikan anugerah pelajar cemerlang kepada Dayang Andrea Tiong Jia Yin.
Pengiran Haji Ayup menyampaikan kata-kata alu-aluan di majlis itu. Beliau turut menyeru tenaga pengajar untuk melakukan anjakan pelajaran daripada hafalan kepada rangsangan akal.
Pengiran Haji Ayup menyampaikan kata-kata alu-aluan di majlis itu. Beliau turut menyeru tenaga pengajar untuk melakukan anjakan pelajaran daripada hafalan kepada rangsangan akal.
Para pelajar dan ibu bapa yang menghadiri majlis itu.
Para pelajar dan ibu bapa yang menghadiri majlis itu.
Persembahan Tausyeh yang menyerikan lagi majlis berkenaan.
Persembahan Tausyeh yang menyerikan lagi majlis berkenaan.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan di Kementerian Pendidikan serta ibu bapa para pelajar yang diraikan.

Pengiran Haji Ayup menambah usaha menjadikan pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah juga adalah amat penting.

“Dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak.” Oleh itu, adalah amat penting bagi ibu bapa untuk menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan dan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

“Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata?”

Ulas Pengiran Haji Ayup lagi, “Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah.”

Di majlis berkenaan seramai 451 pelajar menerima anugerah mereka iaitu seramai 347 penerima bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR), 72 bagi BC-GCE O Level/GCSE/IGCSE, 27 bagi BC-GCE A Level dan lima bagi International Baccalaureate.

Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) itu dihasratkan sebagai pengiktirafan dan tanda penghargaan Kementerian Pendidikan kepada pelajar-pelajar terhadap usaha tekun dan gigih mereka bagi mendapatkan kecemerlangan dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Peperiksaan Brunei-Cambridge General Certificate of Education (BCGCE) Peringkat A dan O, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), General Certificate of Secondary Education (GCSE) dan International Baccalaureate (IB).

Penganugerahan pelajar cemerlang itu juga diharap dapat memberi galakan dan dorongan serta mewujudkan saingan yang sihat dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Ia juga diharap dapat menyuntik semangat pelajar supaya lebih cemerlang dan menjadi satu pemangkin kepada pelajar supaya terus berusaha dan memberi sumbangan kepada negara dalam merealisasikan Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA