Anjakan tempoh bayar hutang IMF

Anjakan tempoh bayar hutang IMF

ATHENS, 5 Jun (AFP) – Greece memohon tempoh masa tambahan dalam rundingan krisis hutangnya dengan para pegawai pemiutang semalam apabila ia mencadangkan pembayaran serentak bagi empat peringkat pembayaran pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang akan dilangsaikan menjelang akhir Jun ini.

Langkah yang jarang berlaku itu, dibenarkan hanya sekali oleh IMF sebelum ini, membolehkan Athens mengelak tempoh akhir hari ini untuk membayar sejumlah kira-kira 300 juta euro (AS$340 juta) kepada pemiutang, ketika ia menimbang cadangan terbaru daripada IMF, Suruhanjaya Eropah dan Bank Pusat Eropah.

Rundingan tersebut yang berlarutan sehingga lewat Rabu, bertujuan mencapai kata putus bagi perjanjian penyelamatan sekarang, berjumlah 7.2 bilion euro (AS$8.1 bilion).

Athens dalam keadaan terdesak memerlukan dana untuk melangsaikan hutang di tengah-tengah kebimbangan kegagalan yang boleh menjurus kepada terkeluarnya Greek dari zon euro.

Pengumuman mengenai negara itu mengambil pilihan kaedah pembayaran tersebut dibuat hanya beberapa jam selepas Ketua IMF Christine Lagarde berkata beliau “yakin” Greece akan membuat pembayaran 300 juta euro pada hari ini.

“Pihak berkuasa Greek sudah memaklumkan IMF hari ini bahawa mereka merancang untuk membuat pembayaran sekali gus empat pembayaran bagi bulan Jun, yang kini tempoh akhirnya adalah 30 Jun,” kata jurucakap IMF Gerry Rice, sambil berkata peraturan membenarkan negara-negara penghutang berbuat demikian.

Menurut satu sumber kerajaan Greek “kami menggunakan pilihan yang peraturan IMF membenarkannya, dan memberikan kami tempoh tambahan bagi rundingan.”

ARTIKEL YANG SAMA