Anjur sidang kumpul derma

Anjur sidang kumpul derma

KATHMANDU, 24 Mei (Bernama) – Jepun dan India menunjukkan minat untuk menganjurkan persidangan penderma antarabangsa untuk mengumpul dana bagi usaha membangunkan semula Nepal selepas dilanda gempa bumi.

Jepun dan India secara rasmi menunjukkan minat untuk mengadakan persidangan di negara masing-masing, kata para pegawai Kementerian Kewangan Nepal.

“Negara-negara sahabat kami berhasrat untuk membantu dengan menganjurkan persidangan kerana Nepal masih kerap dilanda gempa susulan,” kata Madhu Marasini, Ketua Bahagian Penyelarasan Bantuan Antarabangsa di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, rundingan sedang dijalankan untuk memuktamadkan tempat dan bila persidangan akan diadakan.

Jepun berkata ia berminat untuk menganjurkan persidangan itu dan menjadi penganjur bersama sementara India juga melahirkan kesediaan untuk menganjurkan perjumpaan bagi mengumpul dana di New Delhi, kata Marashini.

Penduduk Nepal tidur di bawah sengkuap di Kathmandu pada 21 Mei, selepas beberapa gempa bumi melanda negara Himalaya itu. – AFP
Penduduk Nepal tidur di bawah sengkuap di Kathmandu pada 21 Mei, selepas beberapa gempa bumi melanda negara Himalaya itu. – AFP

Ketua Setiausaha Tambahan India PK Mishra mencadangkan idea itu semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala minggu lepas.

Jepun dan India menunjukkan minat untuk menganjurkan persidangan susulan rayuan Nepal bagi lebih banyak bantuan antarabangsa bagi membangunkan semula struktur yang rosak akibat gempa bumi.

Sebelum itu, kerajaan Nepal berkata ia akan menjadi tuan rumah persidangan di Kathmandu pada Jun tetapi menangguhkan keputusan kerana gempa susulan yang kerap berlaku.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan supaya Nepal menganjurkan persidangan di luar negara kerana gempa susulan kecil masih melanda Kathmandu setiap hari, kata para pegawai Kementerian Kewangan.

Kerajaan sedang menyediakan laporan terperinci bersama penilaian mengenai keperluan pasca bencana selepas gempa bumi pada 25 April berdasarkan kerosakan akibat gempa bumi.

Baru-baru ini, PBB meluluskan resolusi mengenai Nepal dengan menyeru semua negara anggota dan agensi penderma untuk menyumbang lebih banyak bantuan kewangan bagi intervensi segera kemanusiaan dan pembangunan semula jangka panjang, dan pemulihan di Nepal.

Fokus persidangan penderma ialah untuk mendapatkan lebih banyak dana dari negara penderma dan agensi seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Nepal menganggarkan bahawa usaha membangunkan semula dan pemulihan selepas gempa bumi memerlukan sekurang-kurangnya AS$5 bilion.

Nepal dijangka mengemukakan cadangan pengecualian hutang pada mesyuarat penderma selain merayu untuk lebih banyak sumbangan kewangan bagi usaha pembangunan semula dan pemulihan.

Nepal kini menanggung hutang luar berjumlah AS$3.8 bilion kebanyakan dengan Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Jepun dan China.

ARTIKEL YANG SAMA