Anugerah AICTA kembali lagi

Anugerah AICTA kembali lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Anugerah ICT ASEAN (AICTA) kembali lagi buat tahun keempat berturut-turut, sebagai inisiatif ASEAN untuk mempromosikan inovasi dan kerjasama di antara kerajaan, perniagaan, orang ramai dan institusi lain yang merupakan salah satu strategi Pelan Induk ICT ASEAN 2015.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berminat bolehlah menghantar penyertaan berbentuk klip video lima atau tujuh minit yang memperkenalkan produk-produk mereka dalam Bahasa Inggeris, sebelum 15 Julai 2015.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AiTi), hari ini, anugerah dibahagikan kepada enam kategori iaitu sektor awam, sektor swasta, tanggungjawab sosial korporat, kandungan digital, permulaan, serta penyelidikan dan pembangunan.

Setiap negara anggota ASEAN dibenarkan untuk menghantar maksimum tiga produk dalam setiap kategori.

Pengadilan akan bermula pada 1 Ogos 2015, yang mana pusingan pertama akan dilakukan melalui penilaian video penyertaan secara online oleh hakim-hakim dan pusingan akhir akan diadakan di Vietnam pada bulan September 2015 di mana para peserta yang telah dipilih (tiga teratas bagi setiap kategori) akan dikehendaki membentangkan produk mereka kepada ketua-ketua ASEAN TELSOM dan para pengadil.

Menurut kenyataan itu lagi, para pemenang dari Brunei akan dihantar oleh AiTi bagi pusingan akhir berkenaan, dan jika berjaya, mereka akan menerima anugerah di majlis penganugerahan AICTA yang bakal diadakan di Da Nang City, Vietnam pada November 2015.

AICTA adalah program anugerah berprestij yang merupakan penganugerahan perniagaan paling dihormati dalam industri teknologi ASEAN.

Ia antara lain berobjektif untuk mempromosikan kreativiti dan menggalak inovasi, memberikan insentif bagi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada pereka baru ICT, serta untuk mengiktiraf perkembangan dalam penggunaan ICT.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Awang Mohd Faizullah Syazwandy bin Mohd Zaidi dengan menghantar e-mel ke alamat faizullah.zaidi@aiti.gov.b atau Awang Mohd Safwan bin Sabli di safwan.sabli@aiti.gov.bn.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang rasmi AICTA di www.aseanictaward.com.

ARTIKEL YANG SAMA