Anugerah dorong klien semangat capai pemulihan

Anugerah dorong klien semangat capai pemulihan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Seramai 21 pesakit dan residen Pusat Rehabilitasi Psikiatri, Daerah Brunei dan Muara, Pusat Penjagaan Harian Psikiatri Daerah Belait dan Pusat Penjagaan Harian Psikiatri Temburong, hari ini, menerima Anugerah Cemerlang berupa sumbangan Hari Raya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2015.

Menyampaikan sumbangan di majlis anjuran Jabatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kiarong, itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Konsultan dan Ketua Jabatan Psikiatri, Dr Hilda Ho, dalam ucapannya menyatakan, majlis sambutan tahun ini sangat berlainan berbanding tahun lalu, kerana kali ini pihak jabatan bukan sahaja meraikan klien di Daerah Brunei dan Muara tetapi merangkumi dari keempat-empat daerah.

Menurut beliau, anugerah cemerlang ini merupakan satu inisiatif bagi memberikan penghargaan dan semangat kepada pesakit atau klien yang telah berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam pemulihan dan rawatan mereka.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan bersama tetamu yang lain ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Jabatan Psikiatri Kiarong.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan bersama tetamu yang lain ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Jabatan Psikiatri Kiarong.

“Anugerah ini juga akan menjadi dorongan kepada klien yang lain untuk lebih berusaha dengan gigih dan bersemangat untuk mencapai pemulihan diri ke tahap yang cemerlang,” tambah Dr Hilda Ho.

Anugerah-anugerah yang diberikan dibahagikan kepada kategori Bacaan Al-Quran, Bacaan IQRA 1 dan Bacaan IQRA 2, manakala peringkat kebangsaan termasuk anugerah berpuasa penuh sebulan, terbaik keseluruhan mengikuti program pemulihan, kreativiti dan inovasi, terbaik dalam aktiviti pembungkusan produk dan anugerah pematuhan jadual perubatan dan rawatan.

Majlis sambutan dan penyampaian anugerah berkenaan antara lain berobjektif untuk menggalakkan semua klien untuk berinteraksi dan beramah mesra bersama para jemputan, menggalakkan kaum keluarga untuk turut serta bersama-sama menyertai apa jua program yang dijalankan di pusat berkenaan serta memberi peluang kepada klien untuk merasakan suasana sambutan hari raya semasa berada di pusat itu.

ARTIKEL YANG SAMA