Anugerah Kasut Emas keempat Ronaldo

Anugerah Kasut Emas keempat Ronaldo

MADRID, 14 Okt – Cristiano Ronaldo menerima anugerah trofi Kasut Emas Eropah selepas menjadi penjaring terbanyak dengan 48 gol dalam 35 penampilan aksi Liga musim lalu.

Majlis anugerah yang berlangsung di Madrid itu menyaksikan penyerang Real Madrid merangkap kapten skuad Portugal tersebut mengumpul koleksi trofi yang keempat dengan disaksikan presiden kelab, Florento Perez serta jurulatih Rafa Benitez.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir; duta Portugal, pengurus, presiden, keluarga Real Madrid dan juga semua peminat. Ini adalah saat yang indah dalam hidup saya. Menerima anugerah Kasut Emas buat kali keempat adalah satu penghargaan dan sesuatu yang istimewa.

“Trofi ini amat penting bagi saya dan terima kasih kepada rakan sepasukan malah semua yang membantu saya. Pun begitu saya belum berpuas hati, saya mahu lagi. Kalau boleh saya mahu trofi yang kelima dan keenam. Saya tahu ia sangat sukar. Kami mahu menang gelaran liga, Liga Juara-Juara dan Copa del Rey. Saya harap kita akan jumpa lagi tahun depan,” ucap Ronaldo.

Trofi ini merupakan yang ketiga buat Ronaldo di Madrid selepas musim 2010-11 dan 2013-14 manakala trofi pertama diterimanya pada tahun 2007-08 ketika beliau beraksi untuk pasukan Manchester United, malah Ronaldo satu-satunya pemain yang memenangi anugerah tersebut sebanyak empat kali setakat ini.

Ronaldo (tengah) bergambar bersama-sama ibunya, Dolores Aveiro (kanan), anak lelakinya Cristiano Ronaldo Jr (bawah) dan adik lelakinya Hugo (kiri) selepas menerima trofi Kasut Emas Eropah keempatnya di Madrid pada 13 Oktober 2015. – AFP
Ronaldo (tengah) bergambar bersama-sama ibunya, Dolores Aveiro (kanan), anak lelakinya Cristiano Ronaldo Jr (bawah) dan adik lelakinya Hugo (kiri) selepas menerima trofi Kasut Emas Eropah keempatnya di Madrid pada 13 Oktober 2015. – AFP

Manakala pesaing terdekat Ronaldo, Lionel Messi menerima anugerah tersebut sebanyak tiga kali sebelum ini dan turut memadam rekod dua kali yang dinobatkan kepada bekas pemain legenda Bayern Munich, Gerd Muller, Eusebio dan Thierry Henry. – Reuters