Anugerah Khas Maal Hijrah kepada Allahyarham Haron Din

Anugerah Khas Maal Hijrah kepada Allahyarham Haron Din

SERDANG, 2 Okt – Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Anugerah Khas Maal Hijrah manakala bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kebangsaan pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H hari ini. Allahyarham Haron dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah kali ini atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000 dan sijil penghargaan kepada anak sulung allahyarham, Dr Huda Haron, pada majlis sambutan di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.Allahyarham Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Tuanku Abdul Halim juga menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000, medal dan sijil penghargaan kepada Ahmad Fairuz.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada majlis yang bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’.Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – Bernama

Anggota keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din (dari kiri) Haziq Jaafar, Hana Haron, Dr Huda Haron dan Dr Azlin Azzuddin selepas menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1438H pada Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Kebangsaan kelmarin. –Bernama
Anggota keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din (dari kiri) Haziq Jaafar, Hana Haron, Dr Huda Haron dan Dr Azlin Azzuddin selepas menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1438H pada Sambutan Maal Hijrah 1438H Peringkat Kebangsaan kelmarin. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA