Anugerah pembakar semangat

Anugerah pembakar semangat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Persaingan dan pengalaman yang diraih dengan melihat lebih dekat idea serta produk-produk ICT yang diketengahkan oleh peserta-peserta yang menyertai pertandingan Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) bukan sahaja memberikan pengajaran berguna kepada para peserta dari Negara Brunei Darussalam tetapi ia juga sebagai pembakar semangat bagi mereka untuk memperbaiki lagi produk dan idea ICT yang diketengahkan supaya mampu bersaing dengan negara-negara di Asia Pasifik.

Di samping pengalaman itu, tiga kumpulan dari Negara Brunei Darussalam juga meraih kejayaan dalam pertandingan itu di mana mereka menerima Anugerah Merit bagi produk ICT yang diketengahkan semasa pertandingan yang berlangsung di Colombo, Sri Lanka yang bermula dari 17 November hingga 22 November.

Delegasi negara yang diwakili oleh tujuh pasukan dan diketuai oleh Pembantu Kanan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad yang juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif Brunei di APICTA, selamat pulang ke tanah air dan dialu-alukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Perwakilan Exco Brunei lain yang menyertai acara berkenaan ialah Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Sheikh Abas bin Sheikh Mohamad dan Bendahari IFB, Gary Liau Tian Soon.

Hadir di lapangan terbang bagi mengalu-alukan ketibaan delegasi berkenaan ialah Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Haji Osman bin Haji Ladis.

Dayang Nurulhidayati dan Dayang Fatin Nadhirah bersama anugerah merit mereka bagi projek, ITB Virtual Campus.
Dayang Nurulhidayati dan Dayang Fatin Nadhirah bersama anugerah merit mereka bagi projek, ITB Virtual Campus.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai APICTA 2015 bergambar ramai bersama tiga anugerah merit yang diraih dalam pertandingan itu.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai APICTA 2015 bergambar ramai bersama tiga anugerah merit yang diraih dalam pertandingan itu.

Tiga pasukan yang mengharumkan nama negara dengan mendapat anugerah merit dalam pertandingan itu ialah Pasukan Sekolah St John’s dengan projek bertajuk iStudyGCSE, yang menerima anugerah merit bagi Kategori Sekolah, Pasukan Institut Teknologi Brunei (ITB) dengan projek ITB Virtual Campus, yang menerima anugerah merit bagi Kategori Pendidikan Lanjutan dan SnapFeed Sdn Bhd yang menerima anugerah merit bagi Kategori Runcit dan Rangkaian Pembekalan dengan projek bertajuk, SnapFeed.

Pasukan dari ITB dianggotai oleh Dayang Nurulhidayati binti Haji Mohd Sani dan Dayang Fatin Nadhirah binti Haji Ariffin. Mengulas mengenai pengalaman semasa menyertai APICTA 2015, mereka berkata, walaupun berasa gementar ketika mempersembahkan projek di hadapan panel hakim tetapi pengalaman yang diperoleh banyak memberikan mereka keyakinan untuk terus menceburi bidang ICT dan memperbaiki lagi produk mereka supaya ia setanding dengan produk-produk yang diketengahkan semasa pertandingan itu.

Maklum balas daripada para panel hakim dan penganugerahan anugerah merit memberikan mereka semangat untuk meneruskan usaha menambahbaikkan lagi produk yang dihasilkan supaya ia mampu dilaksanakan sebagai satu produk yang memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Manakala itu, pasukan dari Sekolah St John’s, Kuala Belait yang dianggotai oleh Awang Muhammad Rizwan Amjad Nashzed, Torregosa Mercado dan Awang Airul Nasrul bin Abdul Nasir, percaya penyertaan mereka dalam pertandingan itu, bukan sahaja memberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat produk-produk dan idea terkini dalam bidang ICT di rantau Asia Pasifik tetapi ia juga memberikan mereka peluang untuk mendapatkan ilham supaya dapat memperbaiki lagi projek ICT mereka.

Para peserta negara ke pertandingan itu terdiri daripada juara dan pemenang kedua dalam BICTA 2015, iaitu Pasukan Sekolah St John, Kuala Belait dan Pasukan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan projek C@Attendance, yang mana kedua-dua pasukan ini menyertai Kategori Projek Sekolah.

Pasukan ITB dan Kolej IGS dengan projek mereka bertajuk ChewBitz bertanding dalam Kategori Projek Pengajian Tinggi.

Sementara itu, D5 Innovation dengan projek VirtualKiub, SnapFeed Sdn Bhd dan pasukan RingPing dengan projek yang juga dinamakan sebagai RingPing menyertai kategori Industri ICT.

Anugerah APICTA disertai oleh sebanyak 192 pasukan daripada 13 buah negara di mana ia merupakan program anugerah antarabangsa tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ICT dalam kalangan masyarakat dan membantu merapatkan jurang digital.

Dengan menyediakan peluang-peluang rangkaian dan penandaarasan produk kepada para pencipta dan usahawan ICT di rantau ini, program direka untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT, mempromosikan hubungan ekonomi dan perdagangan, membantu pemindahan teknologi, serta menawarkan peluang-peluang pemadanan perniagaan menerusi pendedahan kepada perusahaan-perusahaan dan para pelabur.

Penyertaan Brunei Darussalam dalam pertandingan berkenaan merupakan inisiatif berterusan Kementerian Perhubungan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT serta untuk membantu sektor ICT negara dengan menggalakkan individu-individu, pelajar dan perniagaan bertanding pada peringkat antarabangsa.

Sejak 2008, Brunei telah memenangi dua anugerah kemenangan, 13 anugerah merit dan satu anugerah khas (special mention).

ARTIKEL YANG SAMA