Anwar fail semakan untuk ketepikan sabitan liwat, penjara lima tahun

Anwar fail semakan untuk ketepikan sabitan liwat, penjara lima tahun

PUTRAJAYA, 30 April – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu atas alasan wujud ketidakadilan.

Notis usul itu yang dilampirkan bersama-sama afidavit sokongan Anwar setebal sembilan muka surat difailkan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini Khamis oleh peguam belanya N. Surendran.

Dalam pemohonan itu, Anwar, 67, meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan Peraturan 137, Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengetepikan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bagi kesalahan meliwat dan hukuman lima tahun penjara diputuskan terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan.

Sebagai pilihan, beliau memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya atas meritnya sendiri.

Dalam afidavit itu, Anwar berkata penghakiman disampaikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini wajar disemak semula untuk mencegah ketidakadilan.

Beliau mendakwa kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada hari penghakiman Mahkamah Persekutuan dan tatalaku ketua pendakwa raya telah menyebabkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tidak selamat dari segi objektifnya.

Dalam afidavitnya bagi menyokong permohonan semakan itu, Anwar mendakwa PMO telah mengeluarkan kenyataan mengulas sabitannya sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar hujahnya terhadap hukumannya pada hari penghakiman itu disampaikan.

Beliau mendakwa waktu dan masa kenyataan itu dikeluarkan dan isi kandungannya memberikan tanggapan kepada orang awam bahawa PMO telah tahu keputusan kes itu malah sebelum ia diumumkan.

Katanya bukan menjadi amalan PMO untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu dalam mana-mana rayuan kes jenayah lain dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana kes pada masa lalu, dan menurutnya ia adalah tindakan luar biasa di pihak PMO yang telah menimbulkan prejudis serius terhadap dirinya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA