Anwar lantik 6 peguam baru

Anwar lantik 6 peguam baru

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) – Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melantik enam peguam baru syarie untuk mewakilinya dalam kes tuduhan qazaf.

Anwar melantik peguam baharu itu dalam permohonan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dan dua yang lain untuk mengetepikan semakan dan notis rayuan yang dikemukakan Anwar dalam kes itu. Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie dan Mohd Reza Mohd Rafie antara barisan peguam yang dilantik Anwar di hadapan Pendaftar Syarie Mahkamah Rayuan Syariah di sini.

Anwar yang dibawa dari Penjara Sungai Buloh hadir ke mahkamah bagi membaca surat pelantikan peguam baru itu. Ketika ditemui pemberita, Kamar Ainiah berkata anak guamnya (Anwar) hanya membaca surat pelantikan peguam itu yang berlaku lebih setengah jam dengan dihadiri peguam-peguam. “Prosiding hari ini hanya membaca surat pelantikan peguam oleh Anwar. Tiada arahan lanjut diperoleh dari Anwar memandangkan pihak mahkamah tidak membenarkan peguam mengambil apa-apa arahan lanjut,” kata Kamar Ainiah.

Dalam permohonan untuk mengetepikan semakan dan rayuan Anwar itu, selain Shamsuddin, dua lagi pemohon ialah bekas Pengarah Jabatan Agama Islam (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mereka bertindak memfailkan permohonan berkenaan pada 13 Mei lalu untuk memohon mengetepikan dan/atau membatalkan notis rayuan yang dikemukakan oleh Anwar pada 23 April 2010 dan 21 Februari 2012.

ARTIKEL YANG SAMA