Apa jadi deng...

Apa jadi dengan HBT

SEPANJANG tahun lepas (2016), ramai yang memperkatakan tentang kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) yang perlaksanaannya tidak kesampaian disebabkan alasan kesuntukan belanjawan padahal memang diketahui kejohanan ini diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam setiap dua tahun.

Sekarang sudah masuk minggu ketiga bulan Februari dan kelibat kejohanan apatah lagi khabarnya kejohanan kali keenam ini belum lagi kelihatan dan kedengaran.

Kita perlukan pasukan bola sepak ‘Tabuan’ kita untuk berkembang. Mengadakan perlawanan persahabatan di luar negera sudah tentu memakan belanja yang berpuluh ribu.

Apa salahnya jika pasukan ‘Tabuan’ kita mengadakan undangan kepada pasukan ‘A-Class’ negara jiran terdekat seperti Guam, Nepal, Bangladesh atau Maldives untuk mengadakan perlawanan persahabatan di sini sambil kita mempromosikan negara kita kepada mereka?

Apa sebenarnya yang kita bimbangkan dengan mengundang mereka ke mari? Malah cara sebegini akan menggiatkan lagi industri pelancongan, termasuk pelancongan yang berasaskan sukan (sports tourism).

Malah para penjaja juga punya sumber mata pencarian halal yang diharap-harapkan, terutama sekali jika pasukan ‘Tabuan’ memenangi perlawanan persahabatan mereka di sini

Saya penuh berharap pihak yang berkenaan akan cuba berfikiran secara logik dan wajar bagi mementingkan penjimatan belanjawan di samping menggiatkan pembangunan ekonomi rakyat dan negara kita. Renungkanlah. – PEMERHATI PRIHATIN, BUNUT

ARTIKEL YANG SAMA