Apabila nafsu menguasai diri

Apabila nafsu menguasai diri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Seorang bapa yang tergamak menjadikan anak kandungnya sebagai pemuas nafsu serakah dalam kejadian berulang kali mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan di Mahkamah Perantaraan, semalam.

Lelaki tempatan berusia 52 tahun itu didakwa memperkosa salah seorang anaknya (Dayang X) daripada isteri pertama, dan cubaan rogol serta merogol dua lagi anaknya (Dayang Y dan Dayang Z) daripada isteri kedua.

Dia didakwa merogol Dayang X sebanyak empat kali antara tahun 2002 dan 2003 ketika mangsa berusia 13 tahun dan dua kali pada Februari 2016 ketika berusia 26 tahun.

Tertuduh juga dituduh cuba merogol Dayang Y yang berusia 15 tahun sekitar tahun 2014 dan merogol Dayang Z yang berusia 16 tahun sebanyak dua kali pada 2015.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di tempat berasingan di Daerah Tutong.

pg06_160321_mahkamah logo

Fakta kes menyebut, selepas merogol Dayang X antara tahun 2002 dan 2003, tertuduh telah meyakinkan mangsa bahawa roh jahat yang dimilikinya telah mengganggu mangsa, dan untuk menangkis gangguan itu, Dayang X perlu memenuhi permintaan seksualnya apabila diperlukan.

Tertuduh turut meyakinkan Dayang X bahawa jika dia ‘rela’ untuk memenuhi permintaannya, roh jahat itu tidak akan mengganggunya.

Dayang X mempercayai apa yang dikatakan oleh ayahnya dan ketika dirogol pada usia 26 tahun, Dayang X hanya mengikut kemahuan ayahnya kerana masih mempercayai kata-kata ayahnya dahulu iaitu untuk mengelak daripada gangguan roh jahat.

Kejadian rogol terhadap Dayang X itu hanya diketahui apabila teman lelaki Dayang X menerima pesanan melalui WhatsApp daripada keluarga tertuduh yang memaklumkan bahawa tertuduh telah merogol Dayang X.

Teman lelakinya kemudian membuat laporan polis di mana tertuduh mengaku telah memperkosa Dayang X dan Dayang Z, dan cubaan merogol Dayang Y.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Bahar menetapkan 22 Mac untuk Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman untuk menyampaikan hujahan sebelum menjatuhkan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA