Apartmen RPN pertama siap 2016

Apartmen RPN pertama siap 2016

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Apartmen bertingkat pertama yang terletak di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, dijangka siap menjelang pertengahan 2016.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan harapan agar orang ramai akan dapat menerima konsep apartmen ini, yang menurutnya akan menjadi trend rumah di Brunei pada masa akan datang disebabkan kawasan tanah yang terhad.

Dalam temu bual media semasa lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata kementeriannya sedang melihat kemungkinan untuk membenarkan pemilik unit apartmen berkenaan menjual atau menukarnya jika mereka ingin berpindah ke rumah besar atau membeli hartanah, sebagai satu tarikan kepada mereka untuk memiliki rumah seperti ini.

Menurut beliau, salah satu lagi tarikan apartmen ini adalah harganya yang lebih murah berbanding sebuah rumah RPN.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan turut menjelaskan bahawa pemohon skim perumahan yang dalam senarai menunggu dan berminat untuk tinggal di apartmen akan diberikan unit-unit berkenaan, dan mereka yang tidak mahu tinggal di sana akan diletakkan dalam senarai menunggu.

Yang Berhormat Pehin mendengar penerangan mengenai projek apartmen di RPN Lambak Kanan.
Yang Berhormat Pehin mendengar penerangan mengenai projek apartmen di RPN Lambak Kanan.
Beginilah model projek apartment yang sedang dilaksanakan di RPN Lambak Kanan. - Gambar oleh James Kon
Beginilah model projek apartment yang sedang dilaksanakan di RPN Lambak Kanan. – Gambar oleh James Kon

p03-3_20150520

p03-4_20150520

Katanya lagi, jika pemohon yang menunggu rumah berasingan dan pihak kerajaan masih belum membinanya, maka mereka akan terpaksa menunggu lama sehingga terdapat perubahan dalam dasar untuk membina rumah berasingan.

Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan, beberapa buah tapak telah dikenal pasti untuk membina apartmen seumpama itu di kawasan yang berdekatan dengan bandar kerana mengikut kesesuaian rumah seperti ini adalah di kawasan bandar.

“Ini merupakan salah satu usaha dalam menyediakan perumahan kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyatakan harapan supaya orang ramai akan bersikap positif dengan apa yang dirancang oleh pihak kerajaan, dan berkata rancangan yang dibuat ini mengikut keadaan pada masa kini.

Projek menelan belanja lebih $55 juta itu dikendalikan oleh Dara Construction Sdn Bhd dengan tempoh projek selama 18 bulan.

Dibina di atas tapak seluas 15 hektar, perumahan bertingkat berkenaan mempunyai 300 unit di 10 buah blok dan boleh menampung sehingga 1,800 penduduk. Setiap blok mempunyai enam tingkat dan setiap tingkat mempunyai lima unit apartmen.

Secara keseluruhan, fasa pertama projek ini akan membina 10 buah blok yang dibahagikan kepada dua kawasan yang menempatkan lima blok setiap kawasan dengan dilengkapi tempat letak kereta bertingkat yang mempunyai kemudahan sukan dan rekreasi seperti padang bola.

Manakala itu, setiap unit apartmen mempunyai keluasan lantai 170 meter persegi dan dilengkapi empat bilik tidur, tiga bilik mandi, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Projek ini turut menampilkan kelainan, yang mana bangunannya dibina menggunakan konsep bangunan hijau yang mempunyai sistem yang boleh menyerap air hujan untuk dikitar semula.

Seperti perancangan yang dibuat di kawasan-kawasan RPN lain, pelan induk bagi projek ini juga termasuk bagi pembinaan kemudahan asas seperti sekolah, dewan kemasyarakatan, pusat komersial dan taman rekreasi di kawasan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA