APB rai ulang tahun ke-26

APB rai ulang tahun ke-26

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Akademi Pengajian Brunei (APB), hari ini, telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-26 dalam majlis sambutan yang turut diselajurkan dengan pelancaran buku Suara Wanita Brunei di Bilik Senat, Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang seterusnya turut melancarkan buku hasil tulisan mantan pensyarah kanan APB, Allahyarhamah Datin Dr Hajah Saadiah binti Datu Derma Wijaya Haji Tamit.

Pengarah APB, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dalam ucapan alu-aluan yang antara lain menyentuh tentang peranan dan perjalanan APB sepanjang 26 tahun penubuhannya.

Majlis turut diisikan dengan pameran mini tentang penerbitan terbaru tenaga akademik APB di ruang legar Bilik Senat yang mempamerkan terbitan buku dari salah sebuah penerbitan antarabangsa, Routledge yang bertajuk Brunei-History, Islam, Society and Contemporary Issues.

Pameran tersebut turut menyelitkan tayangan video ringkas mengenai penulis daripada kalangan tenaga akademik APB.

Yang Berhormat Pehin melancarkan buku Suara Wanita Brunei.
Yang Berhormat Pehin melancarkan buku Suara Wanita Brunei.
Yang Berhormat Pehin menyerahkan buku Suara Wanita Brunei kepada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Yang Berhormat Pehin menyerahkan buku Suara Wanita Brunei kepada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Menteri Pendidikan semasa menyaksikan pameran. Turut kelihatan ialah Dr Siti Norkhalbi (kanan sekali).
Menteri Pendidikan semasa menyaksikan pameran. Turut kelihatan ialah Dr Siti Norkhalbi (kanan sekali).
Pengarah Akademi Pengajian Brunei menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Pengarah Akademi Pengajian Brunei menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Kira-kira 200 jemputan hadir di majlis tersebut yang terdiri daripada pihak berkepentingan APB sama ada dari jabatan-jabatan kerajaan dan pihak swasta, institusi-institusi pendidikan dan orang perseorangan yang mempunyai komitmen sepanjang penubuhannya.

Sejak penubuhannya pada tahun 1990 sebagai salah satu fakulti yang menawarkan pengajaran multidisiplin yang meliputi pelbagai aspek kehidupan Brunei Darussalam, APB kini menawarkan program sarjana yang memfokuskan kepada penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti budaya material, industri tradisi Brunei dan banyak lagi.

Anak Allahyarhamah Datin Dr Hajah Saadiah iaitu Dr Hajah Halimaturrashidah binti Dato Seri Setia Haji Metussin ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa buku Suara Wanita Brunei amat penting bukan sahaja untuk orang ramai malah untuk wanita khususnya.

Buku Suara Wanita Brunei
Buku Suara Wanita Brunei

“Buku tersebut bukanlah hasil tulisan Allahyarhamah, ia adalah kompilasi kertas kerja dan jurnal-jurnal serta ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Allahyarhamah semasa acara-acara seminar, persidangan dan sebagainya.

“Kami sekeluarga menerbitkan buku ini untuk kegunaan dan kepentingan orang ramai untuk dijadikan rujukan dan pengetahuan,” jelasnya.

Katanya lagi, buku tersebut adalah mengenai dengan isu-isu masalah wanita dalam isu-isu hal keluarga sosial dan undang-undang keluarga Islam di Negara Brunei Darussalam.

“Ia juga mengandungi tentang Melayu Islam Beraja, menceritakan hak-hak wanita dalam undang-undang keluarga Islam antaranya adalah mengenai perlindungan wanita dari segi keadilan, jika hak-hak mereka terhalang dan sebagainya,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA