APEC menentang kecenderungan anti-globalisasi

APEC menentang kecenderungan anti-globalisasi

LIMA (Peru), 21 Nov – Pemimpin negara Lingkaran Pasifik termasuk Malaysia, sepakat agar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kekal berpegang kepada tujuan dan nilai teras penubuhannya, dan menentang kecenderungan anti-perdagangan bebas dan anti-globalisasi yang kini semakin lantang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemimpin APEC yang bertemu di ibu negara Peru untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC, bersetuju badan itu mengukuhkan pendirian nilai teras penubuhannya iaitu memperjuangkan keterbukaan, kerjasama dan liberalisasi.

Beliau berkata sidang APEC itu mengambil kira suasana dalam kebanyakan negara, terutama di negara maju, dengan suara kini cenderung menentang globalisasi dan perdagangan bebas semakin kencang.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sesi pemukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima Convention Centre kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sesi pemukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima Convention Centre kelmarin. – Bernama

“APEC berpendapat bahawa APEC perlu memerangi unsur-unsur tersebut dan bukannya menyerah kepada kuasa anti-globalisasi atau anti-perdagangan bebas,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang berakhir semalam.

Najib berkata perdagangan bebas merupakan antara prinsip penting, yang boleh menjana kekayaan dan membawa kepada penambahan pekerjaan yang akan menguntungkan rakyat.

“Mesej ini penting untuk diterapkan, bahawa APEC bukan kerana dasarnya tetapi penghujungnya, yang merupakan usaha untuk memberi faedah kepada rakyat,” katanya. – Bernama