Aplikasi halal sedang diusahakan

Aplikasi halal sedang diusahakan

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Aplikasi halal, Halal Management Tracking System, sedang diusahakan oleh pegawai di Bahagian Kawalan Makanan Halal, dan apabila semua proses yang bersesuaian untuk menggunakan aplikasi tersebut selesai, ia akan dipromosikan kepada orang ramai.

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menjelaskan mengenai aplikasi berkenaan pada permesyuaratan hari kesembilan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini berkata, bahan halal yang diberi label oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) akan dipamerkan dalam aplikasi tersebut.

“Sementara bahan-bahan yang diiktiraf halal oleh badan persijilan halal luar negeri sedang dalam penelitian sama ada dapat dipamerkan dalam aplikasi berkenaan dengan mengkaji aspek-aspek dari segi peraturan pengiklanan dan juga hak intelek (IP) pihak berkenaan,” tambah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, jika kemudahan-kemudahan ini sudah jelas, maka bahan sedemikian yang diiktiraf halal oleh badan-badan pensijilan halal luar negeri itu tidak bertentangan dengan aturan-aturan pengiklanan dan undang-undang berhubung dengan IP dan akan dimuatkan ke dalam aplikasi yang sedang dirancang berkenaan.

pg03_160317_b

“Walau bagaimanapun, sebagaimana apa yang telah berjalan sehingga pada masa ini, bahan-bahan yang diiktiraf halal oleh pihak pensijilan halal kita sendiri iaitu bahagian kawalan makanan, MUIB dan juga bahan-bahan yang diiktiraf halal oleh badan-badan pensijilan halal luar negeri itu ada disiapkan sudah dalam bentuk cakera padat untuk diberikan pemohon-pemohon yang berkenaan.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin mengenai usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk menghasilkan aplikasi online bagi orang ramai mengetahui senarai restoran halal di negara ini dan senarai bahan-bahan makanan minuman yang telah diiktiraf halal bagi tujuan mempermudah permohonan sijil dan permit halal.

ARTIKEL YANG SAMA