Aplikasi mudah alih Pengguna Bijak dilancar

Aplikasi mudah alih Pengguna Bijak dilancar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Bagi membolehkan para pengguna membuat tinjauan dan perbandingan harga barangan keperluan harian, Bahagian Hal Ehwal Pengguna (CAD), sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Kawalan Harga, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan aplikasi mudah alih Pengguna Bijak (Smart Consumer).

Tujuan utama aplikasi mudah alih ini adalah bagi mendidik dan memperkasa para pengguna untuk menjadi pengguna bijak dengan menyediakan platform perbandingan harga, serta memperkenalkan undang-undang yang berkaitan dengan kepenggunaan dan menyediakan platform bagi membuat aduan.

Menurut kenyataan JPKE, aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat mengenai harga barangan yang tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, serta mengandungi maklumat pendidikan mengenai pelindungan pengguna dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kawalan harga.

Ciri-ciri utama aplikasi ini adalah Seksyen Perbandingan Harga yang membolehkan pengguna membuat perbandingan harga keperluan harian secara mingguan, seperti produk tenusu, makanan dalam tin, minyak masak dan lain-lain, yang dimaklumkan kepada CAD secara sukarela oleh para peniaga.

Seksyen Jualan dan Diskaun pula berkongsi aktiviti-aktiviti jualan yang sedang diadakan di negara ini, manakala itu, Seksyen Harga Kereta membolehkan para pengguna menyemak harga maksimum pameran kereta yang telah diluluskan oleh JPKE.

Seksyen Membuat Aduan pula sebagai platform kepada para pengguna untuk menghadapkan aduan berkaitan dengan amalan perniagaan tidak wajar dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kawalan harga.

Aplikasi mudah alih yang dihasilkan oleh syarikat tempatan, DotRoot Technologies Sdn Bhd ini boleh dimuat turun di iTunes App Store bagi pengguna iOS dan Google Play Store bagi pengguna Android.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPKE melalui CAD di talian 2230223 semasa waktu pejabat, atau e-mel ke alamat aduanpengguna@jpke.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA