Aplikasi STaR bantu perokok berhenti

Aplikasi STaR bantu perokok berhenti

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan membantu perokok-perokok agar berhenti merokok, dan langkah terbaru kini menggunakan teknologi dengan pelancaran aplikasi mudah alih dinamakan Sihat Tanpa Rokok (STaR).

Perasmian aplikasi berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof di majlis yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini, yang juga bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015.

Pelancaran aplikasi STaR merupakan inisiatif baru Kementerian Kesihatan yang mana pengguna telefon bimbit boleh menggunakan aplikasi berkenaan sebagai kaedah untuk memperolehi maklumat mengenai bahaya merokok serta bantuan dan langkah-langkah untuk berhenti merokok secara mudah alih.

Selepas pelancaran, Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderahati kepada pencipta aplikasi berkenaan iaitu Pelatih Juru Higin dan Terapi Pergigian di Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Awang Syahamsudin bin Haji Ali.

Dengan aplikasi ini, ia dihasrat dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai cara-cara berhenti merokok melalui penggunaan aplikasi telefon bimbit.

Aplikasi Sihat Tanpa Rokok (STaR) yang dapat diakses dalam telefon pintar.
Aplikasi Sihat Tanpa Rokok (STaR) yang dapat diakses dalam telefon pintar.

Ia juga bertujuan untuk memudahkan dan mempelbagaikan akses orang ramai kepada bantuan berhenti merokok serta untuk menjadikan aplikasi itu sebagai salah satu landasan berhubung secara interaktif di antara profesional kesihatan dan pengguna-pengguna aplikasi khususnya perokok-perokok yang ingin berhenti merokok.

Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Google Playstore bagi pengguna Android bermula 1 Jun dan melalui AppStore bagi pengguna iPhone bermula 10 Jun secara percuma.

Aplikasi itu juga boleh diakses melalui laman sesawang, mystar.goodbarber.com bagi perisian yang lain seperti Windows, OSX, Linux, IOS.

Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai aplikasi itu, mereka boleh menghubungi talian Healthline 145 atau 8882005.

ARTIKEL YANG SAMA