Aplikasi telefon pintar untuk lapor jenayah dilancarkan

Aplikasi telefon pintar untuk lapor jenayah dilancarkan

LABUAN, 5 Okt (Bernama) – Aplikasi telefon pintar pemberi maklumat jenayah bagi kawasan Rukun Tetangga (RT) dilancarkan hari ini di pulau bebas cukai ini untuk membantu memerangi aktiviti jenayah di kampung-kampung.

Aplikasi dinamakan ‘Save U & Me KRT’ (SOS RT) adalah sebuah peranti teknologi untuk melaporkan dan memantau kejadian jenayah di sekitar kampung terbabit dan dimajukan oleh sebuah syarikat Malaysia, Public Synergy Power Sdn Bhd.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata aplikasi itu amat berguna kerana ia dapat membantu mempercepatkan proses menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa tempatan.

“Kami berbesar hati dapat melancarkan satu lagi inovasi aplikasi telefon pintar hari ini kerana kami percaya ia dapat membantu penduduk di sini mencegah jenayah dalam lingkungan kawasan Rukun Tetangga dan kawasan kejiranannya,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu di sini.

Kurup berkata aplikasi itu membolehkan komunikasi antara penduduk dan pegawai keselamatan awam menerusi aplikasi dan platform yang selamat.

“Dengan membenarkan komunikasi dua hala menerusi telefon bimbit antara penduduk dan pasukan polis, kami menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk yang terjejas akibat kegiatan jenayah,” katanya.