APMM buru suspek utama kes penyeludupan rokok terbesar di Sarawak

APMM buru suspek utama kes penyeludupan rokok terbesar di Sarawak

MIRI, 14 April (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih lagi memburu suspek utama kes penyeludupan rokok terbesar melibatkan enam kontena mengandungi sebanyak 27 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM33 juta yang berjaya dipatahkan oleh agensi itu pada 21 Julai tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, Mathew Apoi Njau, 42, seorang warga tempatan dan kapten kapal yang cuba menyeludup rokok, telah melarikan diri semasa serbuan itu dilakukan.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan polis memburu suspek ini, tiga suspek kesemua warganegara Myanmar yang bertugas sebagai kru kapal itu sudah dihantar balik ke negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas upacara pelupusan rokok rampasan tersebut di Tapak Pelupusan Sampah Kuala Baram hari ini.

Terdahulu Ahmad Puzi melakukan upacara ringkas pelupusan 27 juta batang rokok itu dengan menghancur dan menanam rokok manakala enam kontena yang dirampas akan dilelong RM5,000 setiap satu.

Sebagai rekod APMM Miri membuat serbuan ke atas sebuah kapal kargo yang mengandungi rokok seludup itu, Ulticom 93 yang berdaftar di Sibu pada pukul 6.30 petang di perairan Miri pada 21 Julai 2015.