APMM dapatkan bantuan nelayan Kudat cari bot karam

APMM dapatkan bantuan nelayan Kudat cari bot karam

KUDAT, 9 Mei (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapatkan bantuan persatuan nelayan Kudat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi bot yang dijumpai tersangkut pada pukat nelayan semalam sebelum terjatuh semula ke dalam laut.

Bot itu yang dinaiki empat individu karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat pada 2 Mei lepas.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata sebuah bot nelayan pukat tunda yang berupaya menarik pukat tunda pada kedalaman 100 meter akan mula menarik pukat di kawasan berkenaan tengah hari ini.

“Pagi ini penyelaman dibuat bermula 7.30 pagi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) namun sehingga kini belum menjumpai apa-apa. Jarak penglihatan di dalam air cuma lima meter dan dasar laut pula berlumpur dengan ketebalan satu meter.

“Jadi agak sukar penyelam dari TLDM untuk membuat pengesanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bot nelayan pukat tunda yang dikerahkan ke lokasi bagi membantu usaha mengangkat sebuah bot karam yang dijumpai di dasar laut pada kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) dari Simpang Mengayau, kelmarin. – Bernama
Bot nelayan pukat tunda yang dikerahkan ke lokasi bagi membantu usaha mengangkat sebuah bot karam yang dijumpai di dasar laut pada kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) dari Simpang Mengayau, kelmarin. – Bernama

Empat mangsa yang hilang dalam insiden itu ialah pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Tommy Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Semalam, sebuah daripada enjin bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, namun sebuah lagi enjin 3 kuasa kuda beserta bot terjatuh semula ke dalam air semasa pukat itu ditarik naik oleh nelayan.

Alen Lam, adik Tommy, kemudian mengesahkan enjin 3 kuasa kuda yang dijumpai itu adalah enjin bot yang hilang berdasarkan diskripsi pada enjin.

Mohd Zubil berkata sekiranya bot berkenaan dapat dibawa naik dari dasar laut hari ini, ia akan membantu penyiasatan pihak berkuasa mengenai pelbagai kemungkinan yang menimpa bot dan empat individu yang berada di atas bot berkenaan semasa ia karam.