APMM Labuan rampas bot tunda balak

APMM Labuan rampas bot tunda balak

LABUAN, 18 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sebuah bot tunda dengan muatan balak tanpa dokumen pelepasan kastam di muara Sungai Lawas, semalam.

Anak kapal bot tunda itu, terdiri daripada seorang warga Malaysia, seorang rakyat Myanmar, tiga warga Indonesia dan juragan warga Malaysia turut ditahan oleh agensi itu pada pukul 2.45 petang.

Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata anggota APMM yang dalam operasi rutin sekitar perairan Labuan dan Lawas terserempak dengan bot tunda itu yang sedang memunggah balak kira-kira 1.6 batu nautika di barat laut muara Sungai Lawas.

“Semasa pemeriksaan, juragan bot itu gagal mengemukakan dokumen pelepasan kastam yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Bot itu kemudian ditunda ke jeti marin Labuan untuk siasatan lanjut. – Bernama