APMM Labuan rampas lebih RM3 juta barang seludup

APMM Labuan rampas lebih RM3 juta barang seludup

LABUAN, 12 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan melakukan 42 tangkapan dan merampas barangan seludup bernilai RM3,391,383 pada tahun lepas.

Ketuanya Kapten Che Adnan Md Isa berkata pelbagai kesalahan itu dilakukan di sekitar Labuan dan perairan Lawas, Sarawak.

“Daripada keseluruhan tangkapan itu, 22 kes dikompaun berjumlah RM33,200.

Kita juga merekodkan enam kes penyeludupan rokok dan minuman keras daripada 1,631 pemeriksaan ke atas pelbagai pengangkutan laut dan kapal tahun lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata 30 kes kesalahan direkodkan di bawah Ordinan Kapal Dagang 1952, Akta Kastam 1967 (enam kes), Akta Perikanan 1985 (tiga) dan masing-masing satu kes di bawah Akta Imigresen 1963 serta Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Berikutan jumlah besar rampasan sejak beberapa tahun lepas, kita tidak akan menghentikan operasi sebaliknya meningkatkan lagi usaha itu dengan strategi lebih berkesan dalam menangani isu-isu penyeludupan dan kita menjangkakan lebih banyak tangkapan dilakukan tahun ini.

“Biarpun penyeludup mengubah modus operandi mereka, kita yakin terhadap operasi kita kerana penduduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan ‘panas’ bekerjasama rapat dengan kita dalam menyalurkan maklumat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA