APMM Miri tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan

APMM Miri tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan

MIRI,7 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 25 warga Vietnam dan merampas dua bot di perairan Miri pada pukul 5.50 petang Selasa lepas.

Pengarah Operasi APMM Miri, Komander Maritim Mohamad Hambali Yaakup berkata, tangkapan 25 warga Vietnam yang berumur 18 hingga 48 tahun itu dilakukan setelah siasatan dilakukan mendapati kedua-dua bot terlibat tidak mempunyai dokumen yang sah untuk memasuki serta menangkap ikan di perairan Miri.

“Kesemua yang ditangkap juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ditahan kedua-dua bot tersebut sedang dalam proses menunda pukat bersama dengan dua bot lain.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya. – Bernama