APMM, Petronas tingkat kesedaran keselamatan penduduk Pulau Mantanani

APMM, Petronas tingkat kesedaran keselamatan penduduk Pulau Mantanani

PULAU MANTANANI (Kota Belud), 23 Ogos (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan PETRONAS menganjurkan program kesedaran mengenai keselamatan di perairan Pulau Mantanani khusus di kawasan berhampiran pelantar minyak.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kaharberkataprogram berkenaan mendapat kerjasama daripada penduduk dan bermanfaat membantu APMM dalam memantau secara menyeluruh keselamatan di kawasan perairan pulau berkenaan.

“Laporan daripada masyarakat setempat adalah penting kerana mereka lebih rapat, lebih faham dan tahu dan sentiasa berada di kawasan-kawasan yang dianggap ‘panas’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sahabat Maritim di Sekolah Kebangsaan Mantanani, Kota Belud.

Beliau berharap kerjasama itu akan berterusan agar pihak berkuasa dapat menangani beberapa masalah yang boleh merugikan masyarakat nelayan seperti aktiviti pengeboman ikan dan kemusnahan batu karang.

Program Sahabat Maritim merupakan program hasil perjanjian persefahaman antara PETRONAS dan APMM iaitu program kemasyarakatan untuk penduduk pesisir pantai terutama nelayan di Sabah dan Labuan.

Ia merupakan usaha untuk meningkatkan keselamatan di laut terutama mengenai bahaya memasuki kawasan keselamatan 500 meter jarak lingkungan daripada pelantar PETRONAS yang boleh membahayakan para nelayan dan para petugas yang bekerja di laut.

Sementara itu Pengerusi PETRONAS Sabah dan Labuan, Mohamed FirouzAsnanberkata pemilihan Pulau Mantanani adalah kerana lokasinya yang dekat dengan pelantar PETRONAS iaitu kira-kira 20 batu nautika dari pulau itu.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, PETRONAS komited untuk melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pada tahap tinggi dan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keselamatan kakitangan kami, kontraktor dan juga penduduk yang tinggal di sekitar operasi kami,” katanya.

Pelbagai aktiviti dan pameran dijalankan sempena program itu termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma, pameran daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan permainan mengujiminda berdasarkan sains daripada Petronsains Playsmart Kota Kinabalu.