APMM Sarawak tahan empat bot nelayan

KUCHING, 17 Mei – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan bersama 30 awak-awak dan tekong warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam kawasan perairan negara di kedudukan kira-kira 85 batu nautika dari Tanjung Sirik dekat Bintulu, Ahad lepas.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata empat bot itu dikesan pada kira-kira pukul 5.30 petang dalam rondaan rutin APMM.

Beliau berkata selepas diperiksa, awak-awak bersama tekong dipercayai warga Vietnam berumur antara 17 dan 50 tahun yang cuba menyamar sebagai bot nelayan tempatan itu didapati membawa kira-kira sembilan tan ikan pelbagai jenis, dan menangkap ikan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan jika didapati bersalah bot boleh disita manakala awak-awak dan tekong boleh didenda masing-masing tidak melebihi RM1 juta tiap seorang,” katanya dalam satu sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini hari ini.

Menurutnya setiap bot itu dianggarkan bernilai RM6 juta manakala ikan-ikan yang dirampas itu dianggar bernilai sekitar lebih RM72,000.

Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit melihat hasil tangkapan empat kapal nelayan asing yang ditahan di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Sallahuddin (KOMTAS) Muara Tebas kelmarin. – Bernama
Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit melihat hasil tangkapan empat kapal nelayan asing yang ditahan di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Sallahuddin (KOMTAS) Muara Tebas kelmarin. – Bernama

Sementara itu Ismaili berkata sejak awal tahun in 11 bot nelayan Vietnam telah ditahan APMM di perairan Sarawak, malah menurutnya beliau difahamkan ada dua lagi bot dari negara berkenaan yang ditahan pihaknya, yang akan tiba di KOMTAS petang ini.

Beliau berkata selain jumlah tangkapan nelayan asing yang agak besar, kes kemasukan nelayan asing di Sarawak juga dilihat amat serius kerana mereka dilihat semakin berani menangkap ikan di kawasan yang amat dekat dengan pantai negara dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak atasan.

Katanya siasatan mendapati kebanyakan bot-bot asing yang tiba dikawasan perairan negara ini sebenarnya dibawa masuk, atau didalangi oleh syarikat tempatan.

“Sejak Januari lalu sehingga kini 130 awak-awak dan tekong dari Vietnam ditahan atas kesalahan menangkap ikan dalam perairan negara tanpa kebenaran. Kalau dilihat sejak tahun 2006 sehingga sekarang pula 1,360 awak-awak dan tekong dari Vietnam ditahan atas kesalahan tersebut,” katanya. – Bernama