APMM tahan 7 kru bot langgar syarat sah tangkap ikan

APMM tahan 7 kru bot langgar syarat sah tangkap ikan

KOTA KINABALU, 6 Jan (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menahan tujuh kru dalam sebuah bot nelayan tempatan yang dipercayai melanggar syarat sah menangkap ikan di perairan Telok Ambong, Kota Belud, malam tadi.

Ketua Penguat kuasa APMM Kota Kinabalu Adam Aziz berkata kru warga Indonesia yang berumur 24 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam kerana menangkap ikan kurang daripada tiga batu nautika di perairan berkenaan.

“APMM juga merampas hasil tangkapan mereka iaitu ikan pelbagai jenis seberat kira-kira 500 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adam berkata kru serta bot berkenaan ditahan di Jeti APMM Teluk Sepanggar untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berharap komuniti nelayan akan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa khususnya APMM untuk mencegah dan membanteras jenayah-jenayah di perairan Malaysia khususnya di negeri ini.