APMM tahan 9 pendatang asing tanpa izin di Semporna

APMM tahan 9 pendatang asing tanpa izin di Semporna

SEMPORNA, 11 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mematahkan cubaan dua bot pam memasuki daerah ini di perairan Bohey Dulang hari ini.

Pengarah Maritim Semporna, Leftenan Komander Maritim Kama Azri Kamil berkata pihaknya menahan bot dinaiki PATI terbabit pada 1:45 pagi selepas menerima maklumat daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Anggota APMM yang membuat pemeriksaan ke atas sembilan lelaki berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua PATI itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. dan dua bot itu ditahan di jeti Kem Azumi.

Dalam pada itu, Kama Azri menasihatkan semua penduduk tempatan daerah ini supaya mematuhi setiap garis panduan sekiranya masuk atau keluar melalui perairan negara khususnya di Semporna. – Bernama