APMM tahan bot bawa warga Filipina

APMM tahan bot bawa warga Filipina

KOTA KINABALU, 13 Julai (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan krunya yang membawa warga Filipina di perairan Kudat awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Maritim Kudat Lt Maritim Rody Anak Bejie berkata operasi pada 4.35 pagi itu menemukan lima warganegara Filipina dan dua warga tempatan (tekong dan kru bot) sedang berada di atas bot berkenaan.

“Dua daripada lima warga Filipina itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan pemeriksaan mendapati bot itu turut membawa kira-kira 800 liter minyak petrol serta enam kotak tepung gandum ,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 24 dan 54 tahun termasuk seorang wanita. Kesemua mereka dibawa ke jeti Sabah Port Kudat untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.