APMM tahan dua bot tempatan

APMM tahan dua bot tempatan

KOTA KINABALU, 20 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pukat tunda tempatan kerana menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Kudat dekat sini Jumaat lepas.

APMM Kota Kinabalu dalam kenyataan hari ini berkata bot pertama yang dinaiki dua lelaki termasuk tekong bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 9.45 malam di perairan Tanjung Pirate, Kudat.

“Bot kedua pula yang dinaiki tiga lelaki ditahan kira-kira 12.30 tengah malam di perairan yang sama,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati bot nelayan berkenaan telah melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menunda dalam kawasan di bawah tiga batu nautika dari pantai terdekat.

Kedua-dua bot dan kesemua individu berkenaan kemudiannya dibawa ke jeti Pelabuhan Kudat untuk siasatan lanjut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA