APMM tahan tujuh PATI warga Indonesia

APMM tahan tujuh PATI warga Indonesia

TAWAU, 7 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, dalam operasi di sekitar perairan daerah ini semalam.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kapten Anor Jaafar berkata kesemua PATI termasuk seorang kanak-kanak berumur empat tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.58 petang dalam sebuah bot yang sedang menuju ke perairan Sungai Nyamuk, Indonesia.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan dan enam awak-awak, iaitu tiga wanita dan empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak di atas bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. – Bernama