Apple cabar EU dapatkan semula cukai $13 bilion

Apple cabar EU dapatkan semula cukai $13 bilion

BRUSSELS, 31 Ogos – Syarikat terkenal di Lembah Silikon, Apple akan melawan permintaan Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapat semula cukai berjumlah 13 bilion euro di Ireland, satu tindakan yang diingatkan oleh Washington mungkin menjejas hubungan ekonomi rentas Atlantik.

Brussels berkata Apple, syarikat paling berharga di dunia, mengelak hampir kesemua cukai ke atas perniagaannya dalam blok disebabkan pengaturan tidak sah dengan Dublin yang memberikan syarikat kelebihan tidak adil ke atas pesaing.

Apple dan kerajaan Ireland berkata mereka akan merayu terhadap keputusan Suruhanjaya Eropah, dengan pembuat iPhone mengingatkan ia akan menjejas pekerja warga Eropah.

Sementara itu, Rumah Putih mengingatkan langkah “satu pihak” oleh EU.

Saham syarikat mengalami sedikit kerugian selepas keputusan, merosot 0.77 peratus kepada AS$106 pada akhir perniagaan di Nasdaq, menebus kerugian sebanyak lebih 3 peratus dalam tempoh dua minggu lalu sebelum keputusan berkenaan.

“Keputusan memberikan mesej yang jelas. Negara anggota tidak boleh memberikan faedah cukai yang tidak adil kepada syarikat tertentu, tidak kira jika ia adalah firma Eropah atau asing, besar atau kecil,” kata Pesuruhjaya Persaingan EU Margrethe Vestager.

“Siasatan Suruhanjaya menyimpulkan bahawa Ireland meluluskan faedah cukai tidak sah kepada Apple, yang membolehkannya membayar cukai yang jauh lebih kurang berbanding perniagaan lain bertahun-tahun lamanya,” tambah beliau.

Ireland telah menarik multinasional sejak beberapa tahun lalu dengan menawarkan perjanjian cukai yang menarik untuk mewujudkan pekerjaan dan pelaburan.

Namun selepas siasatan tiga tahun, Brussels berkata pengaturan dengan Apple mencabul undang-undang EU mengenai bantuan negara.

Hasil dapatan itu keluar di tengah ketegangan yang meningkat di antara Washington dan Brussels berhubung beberapa siri siasatan pecah amanah EU yang mensasarkan syarikat gergasi AS lain seperti Google, Amazon, McDonald’s, Starbucks dan Fiat Chrysler. – AFP