Apple tarik balik Beats Pill XL

Apple tarik balik Beats Pill XL

SAN FRANCISCO, 4 Jun (AFP) – Apple semalam mengumumkan ia menarik balik speaker wayarles Beats Pill XL disebabkan risiko bateri mungkin menjadi terlalu panas sehingga menyebabkannya terbakar.

“Apple telah memutuskan bahawa, dalam kes luar biasa, bateri dalam Beats Pill XL mungkin menjadi terlalu panas dan menimbulkan risiko keselamatan kebakaran,” kata pemilik Beats di California dalam satu kenyataan.

Apple menerima lapan laporan speaker Beats Pill XL menjadi terlalu panas, satu kejadian membabitkan jari seseorang terbakar dan satu kejadian lain yang membabitkan kerosakan sebuah meja, menurut satu nasihat penarikan balik yang disiarkan oleh Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS.

Apple meminta orang ramai supaya berhenti menggunakan speaker Beats Pill XL dan berjanji akan membayar balik wang berjumlah AS$325 setiap seorang.

Rupa bentuk speaker Beats Pill XL yang ditarik balik oleh Apple.
Rupa bentuk speaker Beats Pill XL yang ditarik balik oleh Apple.

Suruhanjaya menganggarkan kira-kira 222,000 speaker dijual di Amerika Syarikat dan 11,000 di Kanada.

Tidak ada produk Beats atau Apple lain yang terjejas akibat penarikan balik tersebut, kata syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley itu.

Beats by Dre memperkenalkan speaker mudah alih Beats Pill XL pada akhir tahun 2013, kira-kira tujuh bulan sebelum syarikat tersebut dibeli oleh Apple dalam satu perjanjian dinilai pada AS$3 bilion.

ARTIKEL YANG SAMA