Apple tidak akan sokong konvensyen Republikan disebabkan Trump

Apple tidak akan sokong konvensyen Republikan disebabkan Trump

WASHINGTON, 20 Jun – Apple telah memberitahu pemimpin Republikan ia tidak akan menyediakan dana atau sokongan lain bagi konvensyen 2016 parti itu kerana ia berasa tidak senang tentang komen kontroversial  Donald Trump mengenai wanita, pendatang dan minoriti, lapor akhbar Politico.

Memetik dua sumber yang tahu rancangan syarikat itu, akhbar tersebut berkata Apple menyampaikan secara peribadi kepada parti itu ia tidak akan menderma alat atau wang tunai kepada konvensyennya di Cleveland dari 18 hingga 21 Julai, di mana perwakilan dijangka menamakan  Trump sebagai calon parti itu bagi pilihan raya umum pada 8 Nov.

Tindakan itu tanda perpecahan semakin melebar antara Silicon Valley dan calon presiden andaian Republikan, ujar Politico.

Trump menyasarkan api retoriknya terhadap keseluruhan industri teknologi, tetapi beliau menyebut Apple untuk diboikot. Beliau juga membidas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple,  Tim Cook, mengenai pendirian syarikat itu berhubung enkripsi.

Jurucakap penganjur konvensyen Republikan memberitahu Politico: “Kami sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi teknologi utama yang fokus dalam menjadi sebahagian daripada proses politik Amerika.”

Facebook, Google dan Microsoft semua telah berkata mereka akan memberi sedikit sokongan kepada acara itu.

Apple enggan mengulas. Jurucakap kempen  Trump tidak respons apabila diminta mengulas oleh Politico.

Tidak jelas bagaimana Apple merancang mengendalikan konvensyen parti Demokrat di Philadelphia pada Julai ini.

Gergasi teknologi itu menyediakan kira-kira AS$140,000 ($188,335) dalam bentuk MacBooks dan alat teknologi lain setiap satu kepada Demokrat dan Republikan pada 2008 dan 2012.