APRS 2016 bincang usaha kurangkan emisi

APRS 2016 bincang usaha kurangkan emisi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos bagi Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia-Pasifik ke-2 (APRS 2016) yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. Acara antarabangsa yang dihoskan oleh Brunei dan disokong oleh kerajaan Australia itu dijangka menyaksikan penyertaan pihak-pihak yang berkepen-tingan daripada sektor kerajaan, perniagaan, badan masyarakat dan komuniti penyelidikan.

Mereka dijangka membincangkan mengenai usaha untuk memangkinkan tindakan praktikal untuk mengurangkan emisi daripada kehilangan hutan dan kemusnahan hutan serta untuk mencapai pembangunan mapan serantau.

Sebagai salah satu acara yang diadakan bersempena dengan sidang kemuncak berkenaan, pihak penganjur sedang mengadakan Peraduan Foto Hutan Hujan Asia-Pasifik yang dibuka untuk penyertaan kepada mana-mana jurugambar profesional atau jurugambar hobi dengan tarikh tutup bagi peraduan berkenaan ialah pada 24 Julai nanti.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Publisiti dan Media, APRS 2016, mengalu-alukan jurugambar-jurugambar tempatan untuk tidak melepaskan peluang dan sama-sama mengambil bahagian dalam peraduan itu di mana penyertaan mereka setentunya akan memberikan anjakan kepada usaha untuk mengetengahkan lagi keunikan alam semula jadi negara dan serantau.

Peraduan itu memberikan peluang kepada para peserta untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai dengan isu-isu berhubung dengan hutan hujan serantau kepada pemimpin-pemimpin yang akan menghadiri sidang kemuncak itu nanti.

Semua foto yang layak akan dipamerkan secara dalam talian dan 20 foto terbaik akan dipamerkan kepada orang ramai di pameran di Brunei semasa sidang kemuncak itu nanti.

Menurut pihak penganjur, foto-foto yang ingin diketengahkan dalam pera-duan itu ialah foto-foto yang menunjukkan nilai-nilai penting hutan hujan di rantau Asia Pasifik iaitu foto mengenai hutan hujan dan landskap hutan, komuniti yang tinggal di dalam dan sekitar kawasan hutan, produk-produk hutan, kesihatan dan pemakanan, kepelbagaian flora dan fauna yang mengetengahkan kekayaan biodiversiti serantau serta apa sahaja yang menggambarkan mengapa hutan hujan itu amat penting bagi jurugambar berkenaan.

Hadiah-hadiah menanti para pemenang bagi peraduan itu, di mana ha diah wang tunai berjumlah $500 hingga $1000 akan diberikan kepada pemenang-pemenang bagi anugerah pilihan juri dan anugerah pilihan orang ramai.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dan garis panduan peraduan dalam talian di laman sesawang, http://www.cifor.org/asia-pacific-rainforest-summit/photo-competition/.

Di samping peraduan itu, beberapa a-cara juga akan diadakan sebelum sidang kemuncak berkenaan dijadualkan untuk diadakan di mana Pusat bagi Penyelidikan Hutan Antarabangsa (CIFOR) akan menghoskan seminar selama sejam secara dalam talian bagi organisasi rakan yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada 25 Julai nanti.

Seminar itu bertujuan untuk memberikan tumpuan kepada strategi-strategi media sosial untuk mempromosikan dan melaporkan sidang kemuncak berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA