Aquino tidak terima pelarian tetap

Aquino tidak terima pelarian tetap

MANILA, 27 Okt (AFP) – Filipina tidak akan menerima mana-mana pelarian yang dihantar oleh Australia jika mereka dijangka akan menetap di negara Asia Tenggara itu secara tetap, kata Presiden Benigno Aquino hari ini.

Aquino mengatakan dia ‘mempertimbangkan secara serius’ cadangan kerajaan Australia untuk menerima beberapa pelarian namun ia tertakluk jika mereka hanya transit masuk ke Filipina sebelum bergerak ke negara lain.

“Jika persetujuan yang diusulkan ini bukan bersifat sementara….kami rasa kami bukan berada dalam kapasiti pada ketika ini untuk mampu menanggung penduduk tetap bagi orang-orang ini,” Aquino memberitahu para wartawan.

“Australia boleh mengenal pasti yang kami memang mempunyai bilangan penduduk yang sangat besar daripada mereka. Kami berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan rakyat kami sekarang. Kami berhasrat ingin membantu namun adanya keterbatasan.

Presiden Filipina, Benigno Aquino (kiri) ketika menjawab soalan semasa satu forum di sebuah hotel di Manila pada 27 Oktober. Filipina tidak akan menerima mana-mana pelarian yang dihantar Australia jika mereka menjangkakan untuk tinggal selamanya di negara Asia Tenggara itu. – AFP
Presiden Filipina, Benigno Aquino (kiri) ketika menjawab soalan semasa satu forum di sebuah hotel di Manila pada 27 Oktober. Filipina tidak akan menerima mana-mana pelarian yang dihantar Australia jika mereka menjangkakan untuk tinggal selamanya di negara Asia Tenggara itu. – AFP

Kerajaan Australia mengatakan pada 9 Oktober lalu yang ia sedang dalam rundingan dengan Filipina untuk menghantar pelarian ke negara yang memiliki penduduk 100 juta orang, secara kasarnya satu perempat daripada mereka hidup dalam kemiskinan.

Perkara itu muncul selepas laporan di muka hadapan akhbar The Daily Telegraph Australia mengatakan menteri luar negeri kedua-dua buah negara itu telah bersetuju dengan Filipina untuk menerima pelarian bagi penempatan dengan pertukaran sebanyak Aus$150 juta (AS$109 juta).

Kerajaan Australia tidak mendedahkan butiran cadangan itu dan Aquino tidak memberi butiran terperinci mengenainya hari ini.

Bagaimanapun, jurucakap hal ehwal luar negeri Filipina, Charles Jose memberitahu AFP bahawa kerajaan Australia telah mengusulkan pemindahan pelarian secara tetap.