Ar-Raudhah johan membaca Rawi

Ar-Raudhah johan membaca Rawi

Oleh Normazlina M.D

 

KUMPULAN Ar-Raudhah daripada Muslimah Masjid Kampung Birau muncul johan dalam Pertandingan Membaca Rawi (berzanji) yang diadakan di Masjid Kampung Telisai, baru-baru ini.

Naib johan disandang oleh Kumpulan An-Nur daripada Muslimah Masjid Kampung Telisai dan Kumpulan An-Nisa daripada Muslimah Kampung Danau merebut tempat ketiga dengan menewaskan tiga kumpulan lain iaitu Kumpulan An-Nisa, Mar’atul Mumtazah dan Jaa-Izah Bahirah.

Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan hadiah ialah Isteri Yang Berhormat Penghulu Mukim Telisai, Hajah Norsiah binti Haji Ahmad.

Pertandingan anjuran bersama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Ahli Jawatan Kuasa Takmir Masjid Kampung Telisai Daerah Tutong itu bertujuan sebagai salah satu usaha berterusan dalam memartabatkan masjid-masjid di Daerah Tutong selain dapat menyumbangkan ilmu yang bermanfaat dan berguna kepada masyarakat.

Kumpulan Ar-Raudhah daripada Muslimah Masjid Kampung Birau berjaya menewaskan lima kumpulan yang lain.
Kumpulan Ar-Raudhah daripada Muslimah Masjid Kampung Birau berjaya menewaskan lima kumpulan yang lain.
Hajah Norsiah ketika menyampaikan hadiah kepada Kumpulan An-Nur, Muslimah Masjid Kampung Telisai.
Hajah Norsiah ketika menyampaikan hadiah kepada Kumpulan An-Nur, Muslimah Masjid Kampung Telisai.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan Muslimah-muslimah Masjid Daerah Tutong mahir dalam bacaan Rawi dan dapat membawa jenis lagu-lagu rawi, serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan Muslimah Masjid Daerah Tutong.

Sebelum pertandingan ini diadakan, satu bengkel rawi yang disampaikan oleh dua guru berpengalaman dan melibatkan 100 peserta Muslimah-muslimah Masjid Daerah Tutong telah pun diadakan selama dua hari yang berlangsung pada bulan Mei yang lalu di Masjid Kampung Telisai.

ARTIKEL YANG SAMA