Arab Saudi buat rombakan kerajaan

Arab Saudi buat rombakan kerajaan

RIYADH, 14 Julai (AFP) – Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud semalam menamakan Menteri Perumahan yang baharu dan menukar Ketua Hal Ehwal DiRaja dalam rombakan kerajaan terkini baginda.

Satu titah menamakan Menteri Dalam Negeri, Khalid bin Abdulrahman al-Issa akan menggantikan Hamad bin Abdulaziz al-Suwailem sebagai Ketua Hal Ehwal DiRaja, iaitu penyelia kepada urusan Raja Arab Saudi. Tiada sebab diberi untuk rombakan tersebut.

Hamad memegang jawatan tersebut sejak lewat April lalu selepas mengambil alih daripada anak lelaki Raja Salman, Putera Mohammed bin Salman dalam satu rombakan besar-besaran.

Rombakan itu menyaksikan Putera Mohammed dilantik sebagai Timbalan Putera Mahkota sekali gus merupakan pewaris kedua takhta diraja Arab Saudi.

Satu titah berasingan semalam turut menamakan Profesor Majid bin Abdullah bin Hamad al-Hugail sebagi Menteri Perumahan baharu.

Beliau menggantikan seorang pegawai yang memangku jawatan tersebut selepas menteri terdahulu dipecat pada April lalu.

Arab Saudi sedang membina beratus-ribu kediaman untuk rakyatnya dalam usaha menangani masalah kekurangan rumah yang teruk.

Titah diraja ketiga pula menamakan Putera Mishaal bin Abdullah sebagai Gabenor wilayah utara yang bersempadan dengan Iraq bagi menggantikan gabenor terdahulu yang meninggal dunia awal bulan ini.

Putera Mishaal sebelum ini merupakan Gabenor kota Mekah sebelum ditukar menjadi penasihat Raja Salman pada Januari lalu dalam rombakan besar-besaran pertama baginda.

ARTIKEL YANG SAMA