Arab Saudi cadang dana pelaburan baharu

Arab Saudi cadang dana pelaburan baharu

NEW YORK, 15 Jan (Reuters) – Arab Saudi merancang menubuhkan firma pelaburan milik kerajaan baharu bagi menguruskan sebahagian hasil minyak dan mempelbagaikan lagi pelaburannya.

Untuk tujuan itu, Arab Saudi sudah meminta beberapa bank pelaburan dan perunding untuk menghantar cadangan bagi projek berkenaan, mengikut individu yang rapat dengan perkembangan itu.

Kejatuhan harga minyak menggugat kedudukan kewangan negara pengeluar minyak terbesar dunia itu. Defisit bajetnya berada pada paras tertinggi dan aset bersih asing menjunam lebih daripada AS$100 bilion dalam 15 bulan.

Firma pelaburan baharu itu akan mengubah cara puluhan bilion dolar dilabur dan memberi kesan ke atas sebahagian pengurus aset utama dunia, khususnya di Amerika Syarikat (AS) di mana sebahagian besar aset asingnya diuruskan.

“Mengekalkan rizab asing pada paras yang baik adalah penting demi mengekalkan kedudukan kewangan yang teguh serta menyokong riyal,” kata seorang sumber.

Seorang lagi sumber berkata, kerajaan Arab Saudi sudah menghantar ‘permohonan bagi mengemukakan cadangan’ kepada bank dan perunding pada akhir tahun lalu bagi mencari ilham bagaimana untuk menstruktur dana baharu berkenaan. Sumber terbabit meminta supaya tidak dinamakan kerana rancangan itu adalah sulit.

Mereka berkata, kerajaan Arab Saudi tidak memberitahu saiz dana baharu yang dirancang. Seorang sumber berkata, dana itu akan memberi tumpuan untuk melabur dalam perniagaan di luar industri tenaga seperti perindustrian, kimia, maritim dan pengangkutan.

Beliau menegaskan, tiada keputusan akhir sudah dibuat dan beberapa pilihan sedang diteliti. Sumber itu berkata, pengurus dana yang dirancang itu boleh melabur secara terus di dalam syarikat berbanding menyalurkan pelaburan melalui pengurus aset asing.

Ia boleh memaksimumkan pulangan. Sumber kedua berkata, beliau difahamkan dana baharu itu akan berkemungkinan beroperasi dalam masa 12 ke 24 bulan lagi dengan pejabat di New York.

Jurucakap bagi Agensi Monetari Arab Saudi (SAMA) tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan kenyataan. SAMA, yang kini menguruskan sebahagian besar hasil minyak Arab Saudi kebiasaannya merahsiakan pengurusan wangnya.

Aset bersih luar negara SAMA berjumlah AS$628 bilion (RM2.75 trilion) pada November lalu, susut daripada AS$737 bilion (RM3.23 trilion) pada Ogos 2014, apabila kerajaan mula mengeluarkan aset untuk membayar bil ketika kejatuhan harga minyak mengakibatkan defisit bajet yang besar.

Aset berkenaan, yang sebahagiannya dikendalikan oleh firma dana global kebanyakannya dalam bentuk sekuriti seperti bon Perbendaharaan AS dan deposit di bank luar negara.

Ekuiti hanya merangkumi sebahagian kecil pegangan sekuriti, dianggarkan 20 peratus. Sebahagian besar aset dipercayai dalam dolar AS. Instrumen konservatif serta berisiko rendah yang menjadi pilihan SAMA dikritik kerana menghasilkan pulangan sederhana, lebih-lebih lagi dengan kadar faedah global yang rendah sekarang. Pada 2014, hartawan Putera Alwaleed Talal menggesa kerajaan supaya membentuk satu dana baharu bagi menjana pulangan lebih tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA