Arab Saudi labur dana besar bagi ‘Wawasan 2030’

Arab Saudi labur dana besar bagi ‘Wawasan 2030’

RIYADH, 26 April – Arab Saudi berkata semalam ia akan menubuhkan dana pelaburan terbesar di dunia dan menjual saham dalam syarikat minyak Aramco di bawah satu pelan yang dilancarkan untuk mengubah ekonominya yang bergantung pada minyak.

Pengumuman program pembaharuan jangka panjang, digelar ‘Wawasan 2030’, menandakan permulaan usaha besar untuk memindah ekonomi Arab Saudi di luar minyak, tulang belakang ekonominya berdekad-dekad lamanya.

“Ia bukan satu impian. Ia adalah satu realiti yang akan dicapai,” beritahu arkitek utama pelan tersebut, Timbalan Mahkota Putara Mohammed bin Salman, kepada wartawan, kebanyakan mereka dijemput dari seluruh dunia.

Walaupun ia berlaku di sebalik kemerosotan mendadak dalam harga minyak, pelan itu ‘bukan sahaja dicipta’ untuk menghadapi cabaran yang timbul, kata putera, menjawab soalan selama 50 minit di istana diraja dalam satu persidangan akhbar kerajaan yang jarang diadakan.

Pelan itu meramalkan perubahan sosial di salah satu masyarakat paling konservatif di dunia. Terdapat lebih banyak opsyen hiburan, dan sumbangan yang lebih banyak daripada wanita dalam tenaga kerja. Arab Saudi kini menggaji berjuta-juta ekspatriat yang melakukan segalanya daripada pekerja manual kepada pengurusan.

Gambar fail bertarikh 8 Mac 2004 menunjukkan kilang industri gas asli padang minyak Saudi Aramco Shaybah di padang pasir Rub al-Khali, Arab Saudi. – AP
Gambar fail bertarikh 8 Mac 2004 menunjukkan kilang industri gas asli padang minyak Saudi Aramco Shaybah di padang pasir Rub al-Khali, Arab Saudi. – AP

“Kami tidak akan berhenti sehingga negara kami menjadi pemimpin dalam menyediakan peluang kepada semua menerusi pendidikan dan latihan, dan perkhidmatan berkualiti tinggi seperti inisiatif pekerjaan, kesihatan, perumahan dan hiburan,” tulis Mohammed dalam buku kecil setebal 84 muka surat yang menggaris kasar pelan berkenaan. Jika ia berjaya, Arab Saudi ‘boleh hidup tanpa minyak menjelang tahun 2020’.

Sebelumnya, dalam temu bual dengan saluran berita Al-Arabiya milik Saudi, putera berusia 30 tahun itu menggaris kasar langkah-langkah bertujuan membentuk semula ekonomi pengeksport minyak terbesar dunia.

Mohammed berkata sebahagian daripada pelan adalah ‘menjual kurang lima peratus daripada Aramco’ dalam Tawaran Awam Awal (IPO) di pasaran saham, menilai syarikat pada harga di antara AS$2 trilion dan AS$2.5 trilion. Sebahagian wang daripada penjualan saham, menurut Mohammed, akan digunakan untuk menubuhkan dana kekayaan berjumlah AS$2 trilion yang akan mengatasi dana Norway berjumlah AS$865 bilion sebagai yang terbesar di dunia. – AFP