Arab Saudi laksana sistem pantau keselamatan jemaah

Arab Saudi laksana sistem pantau keselamatan jemaah

JOHOR BAHARU, 22 Julai – Arab Saudi melaksanakan sistem biometrik ke atas jemaah haji musim ini, kata Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Beliau berkata langkah itu dibuat susulan tiga serangan bom di Jeddah, Qatif dan Madinah baru-baru ini.

“Kalau dahulu, kita hanya rekod ibu jari sahaja, tetapi kini Arab Saudi menetapkan syarat baharu di mana sistem biometrik terhadap 10 jari jemaah perlu direkodkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau hadir pada kursus perdana haji peringkat negeri Johor anjuran Lembaga Tabung Haji yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.

Seramai 22,320 jemaah haji Malaysia akan menunaikan haji menerusi 47 penerbangan Airbus A380 bermula 4 Ogos hingga 5 Sept ini, katanya.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata seramai 2,700 jemaah dari Johor akan berangkat menunaikan haji dengan 400 orang daripada mereka menerima tajaan kerajaan negeri.

Beliau berkata mereka akan berlepas menerusi 11 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 4 Ogos hingga 5 Sept. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA