Arab Saudi rancang pertumbuhan 2030

Arab Saudi rancang pertumbuhan 2030

JEDDAH, Arab Saudi, 7 Jun – Kabinet Saudi telah meluluskan satu pelan besar untuk mempelbagaikan ekonomi negara jauh daripada minyak dan berhasrat mewujudkan 450,000 pekerjaan bukan kerajaan pada tahun 2020.

Program Perubahan Nasional (NTP) 2020, diluluskan oleh kabinet lewat semalam, juga berusaha memotong perbelanjaan awam sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dan merangsang sumbangan daripada sektor swasta.

NTP adalah salah satu daripada beberapa program yang ditubuhkan untuk mencapai matlamat Wawasan Saudi 2030, dokumen setebal 84 halaman yang dikeluarkan pada April oleh Penolong Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 30, yang memimpin pembaharuan tersebut.

Di tengah Wawasan 2030 adalah satu pelan untuk mengapung kurang lima peratus daripada firma minyak Saudi Aramco di pasaran saham.

Hasil yang diperoleh akan membentuk sebahagian daripada dana pelaburan terbesar dunia, dengan AS$2 trilion dalam aset.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika bercakap pada sidang akhbar di Riyadh yang lalu. Kabinet Saudi telah meluluskan satu pelan besar untuk mempelbagaikan ekonomi negara jauh daripada minyak dan berhasrat mewujudkan 450,000 pekerjaan bukan kerajaan pada tahun 2020. – AFP
Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika bercakap pada sidang akhbar di Riyadh yang lalu. Kabinet Saudi telah meluluskan satu pelan besar untuk mempelbagaikan ekonomi negara jauh daripada minyak dan berhasrat mewujudkan 450,000 pekerjaan bukan kerajaan pada tahun 2020. – AFP

Keuntungan daripada dana pelaburan itu akan membantu mempelbagaikan ekonomi dan menyediakan satu alternatif kepada pendapatan minyak yang telah merosot sebanyak kira-kira separuh sejak 2014.

Kejatuhan itu telah mempercepat usaha Saudi untuk beralih daripada petroleum yang masih menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan kerajaan di negara itu, yang meramalkan satu defisit sebanyak AS$87 bilion pada tahun ini.

Pada satu persidangan akhbar awal hari ini, pegawai menggambarkan NTP sebagai langkah pertama dalam mencapai Wawasan. Dokumen NTP setebal 112 muka surat adalah pelan terperinci lima tahun yang menetapkan matlamat yang akan dicapai oleh setiap kementerian kerajaan, dan kos mereka.

NTP akan dilaksanakan menerusi 543 inisiatif di 24 badan kerajaan pada kos 270 bilion riyals dalam tempoh lima tahun akan datang, beritahu Menteri Negeri Mohammed al-Sheikh pada persidangan akhbar di bandar Laut Merah Jeddah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA